Berita Utama

‘Isu sebenar bukan rundingan terus tapi integriti’

BN jatuh sebab integriti, PH pun sama, bangkai gajah tak boleh disorok

BANGI, 6 Muharram 1442H, Selasa – Pendedahan salah laku Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah, tidak membuktikan integriti kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek telah ditawarkan secara rundingan terus sepanjang pemerintahan PH.

Berdasarkan rekod, Tengku Zafrul berkata, semua projek berkenaan membabitkan nilai RM6.61 bilion, yang dibuat secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan ketika kerajaan PH.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan melaksanakan perolehan projek kerajaan secara persaingan terbuka melalui kadar perolehan, antaranya sebut harga, tender terbuka atau tender terbuka pra-kelayakan.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, isu sebenar bukanlah mengenai pendedahan dibuat Tengku Zafrul, sebaliknya berkaitan integriti.

Beliau menyifatkan tiada apa yang menarik daripada pendedahan mengenai rundingan terus PH itu.

“Penyokong PH tertipu? Cerita lama. Isu sebenar bukan rundingan terus atau tender terbuka, tapi integriti.

“BN jatuh sebab integriti. PH jatuh pun sebab sama. Cakaplah apa pun, bangkai gajah tak boleh disorok.

“PN tak boleh tunjuk integriti dengan melondehkan PH. Vaping dalam Parlimen dan tidak kuarantin – contoh cerita integriti PN masih samar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan.

Pada masa sama, satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close