Berita Utama

Jaminan Menteri Perpaduan isu sekolah vernakular subjudis

Isu pokok perlu ditekankan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar

BANGI, 6 Muharram 1442H, Selasa – Jaminan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique bahawa kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular disifatkan sebagai subjudis.

Ini kerana kes mengenai sekolah vernakular sedang dibicarakan di mahkamah, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan.

“Justeru, kita serahkan kepada pihak mahkamah menentukan keabsahan berdasarkan prinsip Perlembagaan.

“Isu pokok yang perlu ditekankan ialah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu.

“Hal lain ialah isu perpaduan dan intergriti nasional kerana matlamat akhir sebagaimana yang disebut dalam Penyata Razak 1956 ialah menyatukan semua murid dari pelbagai kaum dengan menggunakan satu bahasa dan satu kurikulum untuk mewujudkan perpaduan bangsa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu Halimah Sadique memberi jaminan kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular, demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, usaha memupuk perpaduan negara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Katanya, kerajaan ketika ini menggiatkan inisiatif untuk menyuntik kesedaran berhubung kepentingan perpaduan dengan menghayati aspek rukun negara bermula di peringkat awal.

Sebelum ini, tiga pertubuhan memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman yang difailkan iGuru di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Permohonan itu difailkan Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil.

Selain iGuru, ISMA antara gerakan Islam yang memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pada 16 November tahun lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), juga memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button