Berita Utama

Kerajaan takkan mansuh sekolah vernakular

Keputusan demi wujud perpaduan dalam masyarakat majmuk

KUALA LUMPUR, 6 Muharram 1442H, Selasa – Meskipun diasak pelbagai pihak untuk memansuhkan sekolah vernakular, namun kerajaan hari ini memberi jaminan tidak akan berbuat demikian.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique berkata, keputusan besar itu diambil demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia mampu dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan lain.

“Oleh itu, kita jalin kerjasama strategik dengan tiga kementerian lain, iaitu Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Ini kerana dalam usaha untuk kita kukuhkan perpaduan, ia harus bermula dari asas, justeru penghayatan rukun negara perlu dilaksanakan daripada pendidikan awal kanak-kanak. Kita sudah tubuhkan jawatankuasa teknikal, dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan (Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi) dan tiga kementerian lain.

“Selain itu, kita sudah gerakkan penubuhan Kelab Rukun Negara yang setakat ini ada 6,621 kelab di sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah jenis Tamil dan sekolah jenis Cina,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching berhubung cadangan untuk mengubah sistem pendidikan negara, berikutan dakwaan sebelum ini bahawa bibit perpecahan mula meruncing di sekolah vernakular.

Halimah menambah, kerajaan ketika ini turut menggiatkan inisiatif untuk menyuntik kesedaran berhubung kepentingan perpaduan dengan menghayati aspek Rukun Negara bermula di peringkat awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button