Berita Utama

Kezaliman tentera Jepun ragut zaman kanak-kanak

Pikul tanggungjawab sara keluarga seawal usia 7 tahun

KUANTAN, 6 Muharram 1442H, Selasa – Kezaliman tentera Jepun menembak mati bapanya pada tahun 1942 meragut zaman kanak-kanak Choo Kim Sang yang terpaksa memikul tanggungjawab bersama menyara keluarga seawal usia tujuh tahun.

Choo, 85, berkata kematian bapanya, Choo Kim Meng pada usia 36 tahun akibat ditembak pada bahagian perut semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat bekerja, hanya diketahui mereka sekeluarga sehari selepas kejadian.

Mengimbas kisah sedih yang menimpa keluarganya lebih tujuh dekad, Choo yang kini menetap di Sungai Lembing di sini berkata wakil tentera Jepun datang ke rumah mereka di Galing untuk memaklumkan kepada ibunya Cheong Lian Moi, bahawa suaminya ‘sudah mati ditembak’.

“Emak diberitahu mayat ayah masih berada di tepi jalan dan minta supaya mayat itu diambil atau akan dibiarkan begitu saja. Kami hanya dimaklumkan ayah ditembak kerana melanggar arahan berkurung daripada pihak Jepun yang sedang marah ketika itu.

“Mengikut cerita rakan sekerja ayah, tentera Jepun sedang mencari siapa yang melaporkan tali barut Jepun kepada komunis kerana pada hari itu, ada tali barut yang ditembak bintang tiga (komunis),” katanya ketika ditemui Bernama.

Ketika kejadian, Choo berkata bapanya yang bekerja sebagai penjaga generator di bandar Kuantan berkeras mahu pulang ke rumah selepas tamat syif pada pukul 11 malam kerana bimbang dengan keselamatan keluarga tanpa lelaki dewasa di rumah.

Kehilangan mengejut suami menyebabkan ibunya yang baharu berusia 31 tahun ketika itu buntu memikirkan nasib empat cahaya mata yang masih kecil selain tidak mempunyai saudara-mara di Tanah Melayu kerana berhijrah dari Guangdong, China selepas berkahwin.

“Orang Jepun (yang memaklumkan kematian ayah) bertanya jumlah anak dan bila dijawab anak sulung berusia 14 tahun, mereka arahkan abang bekerja. Begitu mudah mereka bercakap sedangkan kami kehilangan tempat bergantung. Malah adik perempuan bongsu langsung tidak mengenali ayah kerana semasa itu usianya baharu enam bulan.

“Emak melakukan pelbagai kerja selepas itu… menjual kuih, membela babi dan menoreh getah. Seawal usia tujuh tahun saya sudah membantu emak menoreh dan berjalan memikul tong berisi susu getah sejauh dua kilometer setiap hari ke kilang untuk dijadikan getah sekerap,” katanya.

Choo yang mempunyai empat anak dan enam cucu menambah, kezaliman Jepun menyebabkan hanya dia dibenarkan ke bandar untuk membeli barangan keperluan, kerana golongan wanita khususnya yang muda dinasihatkan bersembunyi jika melihat tentera Jepun kerana takut diperkosa.

Malah, ibu sering mengingatkannya untuk tidak melawan dan tunduk hormat kepada tentera Jepun setiap kali bertemu, supaya tidak ditampar atau lebih bimbang akan diperlakukan lebih teruk jika menimbulkan kemarahan mereka.

“Paling takut jika ada lori Jepun masuk ke kampung kerana mencari pengintip komunis. Setiap kali lori datang, kami diarahkan duduk diam di rumah. Jika ditangkap, walaupun tanpa bukti akan dibawa untuk diseksa sehingga mengaku atau paling teruk dipancung,” katanya.

Jika ditanya kekesalannya daripada zaman itu, Choo secara berseloroh menjawab satu-satunya yang dikesalkan ialah tidak menyimpan wang Jepun yang dipanggil ‘duit pisang’ kerana mempunyai motif tanaman tersebut.

“Duit pisang mula hilang nilai apabila diberitahu tentera Jepun akan kalah. Jika saya menyimpannya, mungkin kini nilainya sudah tinggi dan itu akan menjadi satu-satunya perkara baik buat saya hasil daripada penjajahan Jepun di negara kita,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close