Berita Utama

Rakyat kecam kerajaan bina SJKC baru, ikut kehendak Dong Zong

Apa guna kita kompromi korbankan sekolah aliran Melayu dulu jika pengorbanan tak dihargai, kini sekolah vernakular terus diperkasa

BANGI, 6 Muharram 1442H, Selasa – Sayang sungguh kerajaan terhadap Dong Zong, MCA dan sealirannya sehingga boleh membina 10 lagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina yang baharu, kata Haji Aminuddin Yahaya.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu tertanya-tanya apakah ‘hutang budi’ pendukung sekolah vernakular berkenaan, sehingga kerajaan mengetepikan rintihan rakyat yang mahukan sistem pendidikan satu aliran.

Meskipun sebelum ini ramai pakar pendidikan menegaskan bahawa sekolah vernakular bercanggah Perlembagaan, namun Haji Aminuddin kesal kerana kerajaan tetap tidak mengendahkan perkara itu.

“Saya tidak pasti apa sebenarnya tujuan cadangan kerajaan untuk mendirikan 10 SJKC baharu.

“Jika pertimbangan politiklah yang menjadi perkiraan, tidakkah mereka lupa sebelum PRU14 dahulu, macam-macam yang kerajaan BN beri untuk pendidikan Cina.

“…ia termasuk SJKC baru juga, pun tidak menjamin sokongan masyarakat itu dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris, The Star berhubung pujian Dong Zong terhadap rancangan kerajaan membina lebih banyak SJKC.

Presidennya, Tan Tai Kim berkata, dia menyambut baik pengumuman rancangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk menambah SJKC, bagi menyelesaikan masalah bilik darjah dan kesesakan lalu lintas. 

Akhbar berkenaan yang memetik Sin Chew Daily berkata, rancangan itu dipuji kerana disambung semula selepas ditangguhkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Kecewa dengan pendirian pemerintah hari ini, Haji Aminuddin berkata, kerajaan bukan hanya membuat sesuatu atas pertimbangan politik, bahkan sanggup menggadai masa depan negara.

Tegasnya, banyak kajian yang dibentang dan didokumentasikan oleh pakar pendidikan, membuktikan kewujudan sistem sekolah vernakular memberi banyak implikasi negatif daripada kebaikan.

“Baik dari aspek pemerkasaan bahasa kebangsaan, naratif sejarah negara, pengasingan pergaulan dan perpaduan kaum antara hujah popular mengapa SJKC ini perlu ditolak demi mencapai perpaduan nasional yang diidam-idamkan.

“Kalau beginilah sikap bangsa lain, saya bimbang satu hari nanti orang Melayu pula akan menuntut kerajaan mengembalikan semula sistem sekolah aliran Melayu seperti awal tahun 70-an dahulu yang telah dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata, apa guna orang Melayu berkompromi dengan mengorbankan sekolah aliran Melayu dahulu, jika aspirasi pengorbanan itu tidak dihargai, apatah lagi sekolah vernakular terus diperkasakan.

“Apakah senario ini yang kerajaan inginkan? Kita sangat sedih dan kecewa dengan tindakan kerajaan PN; harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button