Berita Utama

SPRM kaji elemen rasuah dalam 101 projek rundingan terus

Suruhanjaya akan dapatkan senarai lengkap projek daripada MOF

BANGI, 6 Muharram 1442H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengkaji elemen rasuah yang terdapat di dalam pemberian 101 projek bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan, menerima beberapa memorandum dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu terbabit.

“SPRM akan mendapatkan senarai 101 projek dari Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus semasa pemerintah kerajaan terdahulu.

“Satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk memberikan ruang kepada suruhanjaya ini untuk meneliti perkara berkenaan.

Suasana persidangan Dewan Rakyat petang semalam menjadi kecoh apabila isu berhubung projek rundingan terus semasa di bawah pentadbiran kerajaan PH ditimbulkan.

Ia susulan makluman oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020.

“Semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan,” kata Tengku Zafrul.

Keadaan bertambah gamat apabila Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang merupakan bekas Menteri Kewangan di bawah pentadbiran PH bangun ‘membela diri’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button