Berita UtamaDunia

Zionis serang Gaza 19 hari berturut-turut

Sasar lokasi Hamas, sekat bahan bakar hingga Palestin bergelap

GAZA, 6 Muharram 1442H, Selasa – Pesawat tempur Zionis terus melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza pada awal hari Isnin, menurut tentera Israel.

Serangan itu menyasarkan terowong Hamas dan beberapa kawasan ketenteraan, kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Katanya, ia dilakukan sebagai balasan ekoran tindakan Gaza melancarkan belon pembakar ke atas Israel, dan negara haram itu menyalahkan Hamas, kumpulan yang memerintah Semenanjung Gaza.

Tiada korban jiwa dilaporkan setakat ini.

Menurut agensi berita Palestin, WAFA, pesawat tempur Israel menyasarkan kawasan di sebelah timur bandar al-Qarara, di bandar Khan Younis di selatan, dengan sekurang-kurangnya melepaskan tiga peluru berpandu.

Pada masa sama, artileri Israel menyerang sebuah lokasi di sebelah timur Rafah di selatan Semenanjung Gaza sehingga memusnahkannya.

Rejim Zionis dilapor telah melakukan serangan ke atas Gaza hampir setiap hari sejak 6 Ogos lalu.

Selain serangan, rejim berkenaan turut memperketatkan sekatan dengan melarang kemasukan bahan bakar untuk kegunaan satu-satunya pembekal tenaga elektrik di Gaza, sehingga mengakibatkan wilayah Palestin bergelap.

Semenanjung Gaza mempunyai populasi dua juta orang, dengan lebih separuh daripadanya hidup dalam kemiskinan, menurut Bank Dunia.  

Wilayah Palestin berada di bawah sekatan Israel yang dahsyat sejak 2007.

Israel dan Hamas telah berperang sebanyak tiga kali sejak 2008.

Serangan terbaharu Israel berlaku tepat sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo tiba di Tel Aviv, lokasi pertama dalam siri lawatan lima hari ke Timur Tengah.

Kunjungannya akan menumpukan kepada normalisasi hubungan diplomatik Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Israel, yang dilihat sebagai pengkhianatan oleh rakyat Palestin, dan mendesak negara Arab lain untuk tidak mengikutinya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button