Berita Utama

291 ditahan dalam Op Nyah 1, Op Benteng

PGA turut rampas pelbagai jenis barang bernilai RM18.9 juta

SEMENYIH, 7 Muharram 1442H, Rabu – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menahan 291 individu dan merampas pelbagai jenis barang bernilai RM18.9 juta dalam Op Nyah 1 dan Op Benteng COVID dari awal Januari hingga 24 Ogos tahun ini.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata pihaknya telah melaksanakan 107 serbuan, di sekitar pantai barat Johor dan pantai Selangor.

Beliau berkata pecahan yang ditahan terdiri daripada 100 lelaki dan tiga wanita warga tempatan manakala 177 lelaki dan 37 wanita warga asing yang kesemuanya berumur lingkungan antara 20 hingga 60 tahun.

“Penahanan warga asing melibatkan warga dari Indonesia, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Bangladesh, Sri Lanka, India dan Nepal.

“Selain itu, barang-barang yang dirampas ialah beberapa jenis kenderaan bernilai RM7.5 juta, rokok seludup bernilai RM6.4 juta, arak seludup bernilai RM2.3 juta, dadah bernilai RM1.4 juta, hidupan dan tumbuhan dilindungi bernilai RM83,560 serta wang tunai sebanyak RM1.1 juta,” katanya dalam sidang media khas di Kem Batalion Empat PGA Semenyih di sini hari ini.

Muhammad berkata kesemua serbuan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan 1984/89, Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan 1958 dan Akta Perikanan 1985.

Dalam perkembangan sama, seramai 17 anggota dari PGA Briged Tengah menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin di kem berkenaan berikutan mereka terlibat operasi itu.

Beliau bekata semasa melakukan Op Benteng COVID, pihaknya telah menahan seramai 18 pendatang tanpa izin yang cuba menyeludup masuk ke negara ini di Jeti Perikanan Sekinchan, Selangor.

Muhammad berkata seorang daripada warga asing yang ditahan telah melalui ujian saringan COVID-19 dan didapati positif wabak itu.

“Polis kemudiannya telah mengikut prosedur operasi standard yang kesemua anggota terlibat dalam operasi telah membuat saringan dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

“Alhamdulillah, kesemua anggota yang terlibat dalam operasi itu didapati negatif COVID-19 setelah melalui saringan begitu juga bagi warga asing lain yang ditahan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button