Kolumnis

BERJASA identiti watan Malaysia

Tolak pendekatan populis, jadikan bilangan undi kiblat buat keputusan

1. BERJASA ditubuhkan pada tahun 1977, pernah memerintah Kelantan dan menyertai kerajaan Persekutuan.

2. Barisan kepimpinan parti bagi sesi 2018-2021 telah mengambil keputusan besar untuk meremajakan dan menjenamakan semula BERJASA, agar dapat menyahut cabaran kepimpinan politik negara masa kini dan akan datang.

3. BERJASA boleh dikenali menerusi tiga kata kunci; watan, hikmah dan wibawa.

4. Identiti BERJASA adalah identiti watan Malaysia. Watan merujuk kepada Tanah Melayu, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, yang terdiri daripada gabungan sembilan kerajaan negeri bersama negeri-negeri Selat, yang kemudiannya disertai Sabah dan Sarawak, menjadi Malaysia.

5. Watan ini berdaulat, iaitu berkerajaan, sebelum kedatangan British lagi, berasal daripada Kesultanan Melayu Melaka.

6. Sehubungan itu, watan ini mempunyai jatidirinya yang tersendiri, iaitu Melayu dan Islam, berdasarkan aspek sejarah, geopolitik dan peradabannya; meliputi bahasa dan budaya, falsafah pemikiran, sikap, perlakuan dan sifat penduduknya sejak berkurun yang lampau.

7. Jatidiri tersendiri ini telah terpahat dalam bentuk perlembagaan, bermula dengan Hukum Kanun Melaka, diikuti dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi Perlembagaan Malaysia.

8. Seterusnya, identiti ini diperteguhkan lagi dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Budaya Kebangsaan.

9. Kepentingan watan, di sisi BERJASA, mengatasi kepentingan politik kepuakan, yang selama ini telah merabik aset kekuatan umat Islam khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, akibat kemelut politik yang berpunca daripada sikap tamak dan rakus individu dan parti tertentu.

10. Justeru BERJASA mengutuk budaya politik wang yang menyimpangkan kesetiaan daripada negara, kronisme dan nepotisme yang menggadaikan integriti, fahaman liberal dan sosialis sekular yang mencabut akar jatidiri watan ini.

11. Berdasarkan kerangka watan ini juga, BERJASA menerima kemajmukan kaum dan agama dalam kalangan anak watan ini sebagai kepelbagaian dalam identiti nasional yang satu.

12. BERJASA tegas berpendirian bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri hubungan etnik, ke arah integrasi dan perpaduan nasional, serta menamatkan fenomena chauvinisme.

13. Kata kunci kedua ialah hikmah. Hikmah ialah kebijaksanaan dalam usaha mencapai maslahat terbaik untuk manusia. Hikmah hanya boleh dimiliki melalui paduan ilmu wahyu dan akal, yang menjadi asas peradaban terunggul dunia.

14. Kita perlu membuat pelbagai keputusan setiap hari. Memilih antara baik dan buruk, mudah. Tetapi memilih antara baik dan lebih baik, buruk dan lebih buruk, memerlukan hikmah.

15. Hikmah menyusun urutan prioriti urusan pemerintahan negara. Maslahat negara tidak harus sekali-kali digadaikan demi memenuhi maslahat kaum, kumpulan, parti atau individu tertentu.

16. BERJASA menjadikan hikmah sebagai neraca dan pendekatan, dalam mengemukakan penyelesaian terhadap segala permasalahan anak watan dan mengangkat martabat negara dalam kepimpinan antarabangsa.

17. Sehubungan itu, BERJASA menolak pendekatan populis, yang menjadikan bilangan undi sebagai kiblat dalam membuat keputusan, sehingga membelakangkan aspek professionalisme dan kepakaran, integriti dan ketulusan, malahan seringkali bertentangan dengan dasar-dasar negara.

18. Kata kunci ketiga ialah wibawa. Wibawa merujuk kepada nilai professionalisme dan integriti, yang sepatutnya menjadi sifat yang sebati dalam diri pemimpin politik.

19. Professionalisme mengenai keupayaan, kredibiliti dan prestasi pencapaian, manakala integriti mengenai amanah, kejujuran dan ketulusan.

20. Urusan pemerintahan negara adalah satu amanah yang berat, bukan tempat mendapatkan habuan peribadi dan puak. Kepercayaan rakyat sepatutnya hanya diberikan kepada ahli politik yang berwibawa sahaja, agar amanah itu terpelihara.

21. Oleh itu, BERJASA mengecam fenomena ‘warlord’ yang menjadikan jawatan kepimpinan negara seolah-olah milik peribadi dan puak, dengan memanipulasi situasi terdesak orang Melayu dari sudut material dan survival bangsa.

22. Berjasa adalah pentas, terutamanya bagi anak muda, untuk beraksi sebagai pemimpin bermaruah dan berprinsip, setia pada agama, bangsa dan negara, yang dipilih berasaskan kualiti dan kewibawaan.

Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button