Dong Jiao Zong: Antara tuntutan rakyat, kelesuan pemerintah
Tuntutan penggerak Cina dipertahankan jika pemerintah tidak tegas
KEBAL sekali Dong Jiao Zong – kerajaan mana yang menjadi pemerintah sekalipun, sekolah vernakular tetap dipertahankan.
Jangan terkejut sekiranya satu masa nanti sekolah-sekolah vernakular akan dilindungi oleh undang-undang dan sesiapa yang mempertikaikan kewujudan sekolah-sekolah vernakular atau Dong Jiao Zong ini akan didakwa di Mahkamah di bawah Akta Hasutan pula!
Mereka bijak mengambil kesempatan di atas kelemahan, keengganan dan pengabaian kerajaan untuk bertindak lalu mereka menjadi semakin angkuh dan ekstremis (istilah Tun Dr Mahathir Mohamad).
Mereka menyembunyikan agenda cauvinis dan eksklusiviti mereka di sebalik kempen diversiti (kepelbagaian budaya) “Menyalur Kasih Sayang Menjelang Wabak COVID-19”.
Mereka belum membuktikan lagi semangat patriotisma dan cintakan tanah air.
Ada di antara sekolah mereka yang menaikkan bendera Malaysia dengan terbalik tanpa ditegur, dikritik atau dimarahi oleh Dong Jiao Zong.
Mereka juga membantah sekeras-kerasnya pengenalan tulisan Jawi dan khat ke dalam sukatan pelajaran mereka, malah cuba menganjurkan konvensyen besar bagi tujuan tersebut.
Mereka mendapat dana yang besar di dalam belanjawan negara, sedangkan tidak ada sebarang peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenainya.
Mereka masih menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar meskipun bercanggah dengan Akta Pendidikan.
Mereka masih menuntut pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mereka untuk masuk ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sedangkan terdapat lebih ramai pelajar Cina di sekolah-sekolah kebangsaan yang perlu bersaing untuk mendapat tempat yang sama.
Mereka gagal melahirkan pelajar-pelajar yang mahir berinteraksi dan berintergrasi (termasuk fasih bertutur dalam Bahasa Melayu) dengan baik ketika mana keluar dari dunia persekolahan vernakular.
Setiap parti politik Cina berasaskan perkauman (DAP, MCA dan Gerakan) tidak akan berani menjentik atau berbisik sedikitpun mengenai sekolah-sekolah vernakular ini.
Saya pernah menulis tentang strategi mereka untuk mempertahankan institusi pendidikan swasta Cina ini (https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/2830909346933057), di mana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang satu masa dulu iaitu Tan Sri Koh Tsu Koon sendiri pada 7hb Jun 2017 mendedahkan bagaimana agenda mereka distrategikan.
Menteri Pendidikan ketika itu iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagaimana yang dilaporkan oleh portal Berita Harian bertarikh 26hb Oktober 2017 (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/342120/kerajaan-lulus-bina-10-sjkc), telah mengumumkan kelulusan Kerajaan bagi pembinaan 10 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
Satu kebetulan?
The Star (https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/08/25/dong-zong-lauds-govts-more-sjkcs-plan) pula melaporkan bahawa keputusan kerajaan untuk membina 10 buah SRJKC baru dan memindahkan 6 buah lagi sekolah jenis sama ke kawasan-kawasan yang lebih luas telah mendapat pujian dan penghargaan dari Dong Zong.
Cadangan ini dikatakan sebagai kelulusan bahawa parti MCA telah perolehi daripada kerajaan Pusat pada tahun 2017 dahulu.
Formula yang digunakan ialah 10 + 6, tepat sepertimana yang diumumkan kerajaan Pusat sekarang.
Maka tidak hairanlah apa yang dinamakan sebagai sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (dan Tamil) tidak akan diganggu gugat oleh mana-mana pemerintah, kerajaan negeri atau kerajaan Pusat sekalipun.
Pengumuman atau lebih tepat penegasan dan jaminan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique di Parlimen pada 25hb Ogos 2020 bahawa Kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular bukanlah sesuatu yang mengejutkan juga.
Meskipun terdapat beberapa permohonan ke mahkamah untuk memutuskan tentang keabsahan sekolah-sekolah vernakular ini di sisi perlembagaan Persekutuan, Menteri Perpaduan negara nampaknya tidak peduli sama ada kenyataan beliau adalah bersifat subjudis (permohonan belum diputuskan lagi).
Kita tertanya-tanya apakah kenyataan yang dibuat oleh beliau di dalam Parlimen ini seolah-olah cuba “memandu” keputusan Mahkamah kelak?
[Satu isu sampingan yang timbul ialah keghairahan segelintir orang-orang Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah vernakular ini.
Kita tidak faham kenapa mereka begitu gemar berbuat demikian. Adakah kerana ingin supaya anak-anak mereka menguasai bahasa Mandarin agar senang dapat kerja di syarikat-syarikat swasta Cina bila besar nanti?
Adakah mereka sangat yakin situasi tersebut akan berlaku?
Apa alasan sebenar mereka di saat begitu ramai rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah kebangsaan satu aliran, yang telah terbukti berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang boleh meraikan kepelbagaian, kemajmukan dan sifat/sikap toleransi dan muhibbah?
Selagi mana tidak ada ketegasan dan kemahuan politik yang kuat dari pihak pemerintah, selagi itulah tuntutan-tuntutan melampau dari penggerak-penggerak pendidikan Cina ini akan dipenuhi dan dipertahankan.
Selagimana para pemimpin politik lebih bertumpu kepada berapa banyak maslahat politik (political mileage) dan jumlah undi yang bakal diperolehi dengan “memuliakan” dan “mengabulkan” serta tunduk menyerah kepada desakan-desakan pihak cauvinis ini, selagi itulah mereka akan terus hilang kewibawaan dan intergriti mereka di sisi rakyat, umat dan bangsa.
Bagaimanapun, kita amat yakin bahawa fakta bahawa sekolah-sekolah vernakular ini telah lama wujud di negara ini, ia bukan sesuatu yang kebal selama-lamanya.
Perjuangan masih belum berakhir.
Kuasa rakyat masih belum hilang daulatnya.
RUJUKAN:
i) https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/342120/kerajaan-lulus-bina-10-sjkc
ii) https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/2830909346933057
iii) https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-tidak-akan-tutup-sekolah-vernakular-najib-76072
v) https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/724441/sekolah-vernakular-tidak-dimansuhkan
vi) https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/08/25/dong-zong-lauds-govts-more-sjkcs-plan
vii) https://ismaweb.net/2020/08/25/jaminan-menteri-perpaduan-isu-sekolah-vernakular-subjudis/
viii) https://www.malaysiakini.com/news/487486 – Dong Zong lancar kempen bantah Jawi di sekolah vernakular
x) https://ismaweb.net/2020/06/06/lancar-kempen-tangani-rasisme-dong-zong-cuba-perangkap1-melayu/
Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.