PEMBELA adakan kunjungan muhibah ke SPRM
Rancang wujud banyak program, sesi penerangan dalam masa terdekat
BANGI, 7 Muharram 1442H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengadakan kunjungan muhibah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.
Pertemuan itu diketuai Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya dan diwakili sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Menerusi pertemuan itu, Haji Aminuddin berkata, PEMBELA – yang mewakili 300 NGO Islam – merancang mengadakan lebih banyak program dan sesi penerangan dengan SPRM dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah, sesi ini sangat bermakna bagi kami kerana SPRM adalah sebuah institusi penting buat negara dan kita komited dalam segala usaha untuk membantera rasuah dan memelihara integriti negara.
“Semoga SPRM terus maju jaya menjalankan tugasnya membanteras rasuah untuk negara yang tercinta ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain SPRM, PEMBELA sebelum ini pernah mengadakan kunjungan sama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).