Berita UtamaPendapat

Sejarah buktikan ramai wanita bersifat waja hadapi ujian

Peranan wanita diperkasa melalui akidah, berkorban kepada negara

DALAM usaha negara memerangi COVID-19, wanita dilihat memainkan peranan yang sangat penting dalm pengorbanan mereka membendung gejala ini.

Kekuatan jiwa wanita dalam mengurus diri, keluarga dan anak anak ketika negara dilanda pandemik tidak harus dipandang sebelah mata.

Hakikatnya, sejarah membuktikan telah lahir ramai wanita bersifat dan berperibadi waja dalam menghadapi ujian.

Lihatlah kekuatan jiwa Saidatina Aisyah tatkala menghadapi satu peristiwa fitnah di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah R.A melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A, sehingga menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah.

Kesabaran Saidatina Aisyah ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik.

Lihatlah bagaimana Sumayyah kuat menghadapi tekanan kerana keberaniannya berpegang dengan Islam hingga syahid diseksa di padang pasir.

Lihatlah keteguhan jiwa Masyitah dengan iman di hadapan firaun, hingga rela dihumban ke dalam minyak panas bersama anak-anaknya.

Lihatlah juga keteguhan prinsip Rumaisa’ yang telah meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dalam kehidupannya, sehingga sanggup berpisah dengan suami yang ingin kekal dalam dunia jahiliah.

Para sahabiat dan ummul mukminin menjadi contoh dan ikutan terbaik wanita berhati waja.

Pada mereka terkumpul ciri dan sifat-sifat yang kuat.

Wanita waja sentiasa berfikiran positif. Mereka yang berfikiran positif tidak putus asa dengan rahmat Allah.

Mereka yang berfikiran positif akan selalu memandang sisi baik pada satu satu perkara dan menjauhi unsur unsur negatif yang boleh mengganggu pemikirannya.

Mereka yang berfikiran positif ini tidak akan merasa lemah dan akan sentiasa bersemangat.

Kerana itu wanita yang berfikiran positif adalah juga mereka yang sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Mereka yakin bahawa Allah tidak akan menguji hamba-hambanya melainkan untuk meningkatkan darjat keimanan mereka.

Wanita berhati waja juga adalah wanita yang tahan menanggung kepayahan dan keperitan.

Kecekalan melalui ujian dan tribulasi adalah bermula dari hati yang kuat dan yakin kepada pertolongan serta bantuan Allah.

Malah wanita yang waja adalah wanita yang kukuh pegangan akidahnya.

Peranan wanita tidak seharusnya hanya diperkasakan dari segi kebolehannya untuk berkorban pada negara, tetapi juga harus diperkasakan dari segi kekuatan asasnya iaitu akidahnya.

Wanita muslimah yang mempunyai akidah yang sejahtera akan teguh menghadapi dugaan kerana mereka yakin kepada takdir dan ketentuan Allah.

Kesemua sifat ini akhirnya melahirkan sebuah kehidupan yang sejahtera.

Kesejahteraan yang sebenar adalah apabila kita meletakkan Allah dan Rasul sebagai panduan hidup.

Semoga dalam dunia yang serba mencabar ini, wanita muslimah dapat menjadi sinar kepada masyarakat yang kian diuji keimanannya.

Untuk itu, wanita mesti berusaha mengeluarkan diri dari tekanan sepertimana yang kita lihat dalam kehidupan Saidatina Khadijah, Aisyah, Safiyyah, Khawlah Al-Azwar dan ramai lagi wanita tauladan dalam Islam.

Mereka wanita yang tidak gentar akan takdir yang telah Allah tetapkan. Setiap ujian yang melanda mereka dihadapi dengan penuh reda dan perasaan tawakkal yang tinggi pada Allah.

Ustazah Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button