Berita Utama

Vernakular: Malang! Apa nak jadi dengan pemimpin Melayu

Hapus vernakular bukan isu kaum tapi agenda perpaduan nasional

BANGI, 7 Muharram 1442H, Rabu – Cadangan menghapuskan sekolah vernakular bukan isu perkauman, tetapi agenda perpaduan nasional, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara yang merancang ke arah agenda berkenaan, sepatutnya lebih mudah memahami berbanding menyatakan pendirian yang sebaliknya.

Kecewa dengan jaminan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Sadique, Haji Aminuddin berkata, banyak kajian yang membuktikan bahawa aliran vernakular dalam sistem pendidikan negara adalah tidak baik kepada perpaduan nasional.

“Apalah nak jadi dengan pemimpin Melayu kita. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Aduhai, sedih sungguh melihat pemimpin Melayuku.

“Manakah ahli-ahli politik yang dahulunya sama-sama melaungkan agenda mahu sekolah satu aliran selama ini?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Halimah memberi jaminan kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular, demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, usaha memupuk perpaduan negara dalam masyarakat majmuk di Malaysia berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin mempersoalkan apakah pendirian kementerian dipengaruhi oleh timbalan menterinya.

“Saya tidak pasti, apakah pendirian Kementerian Perpaduan ini dipengaruhi kuat oleh timbalan menterinya dari MCA, Ti Lian Ker yang banyak kontroversi melibatkan pendiriannya terhadap perundangan Islam, sekolah vernakular dan sebagainya.

“Tetapi, jika ini pendirian dari lubuk hari menteri sendiri, maka ianya sangatlah malang,” katanya.

Beliau mengingatkan kerajaan supaya tidak mengetepikan masa depan anak bangsa dan negara, hanya kerana untung rugi politik parti masing-masing.

“Saya pasti pihak kerajaan sedar akan perkara ini kerana ianya telah banyak dibentangkan kepada kementerian-kementerian berkaitan.

“Janganlah hanya kerana perkiraan untung rugi politik parti masing-masing, kita sanggup melangkaui perkiraan masa depan anak bangsa dan negara. Tolonglah, saya merayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button