Vernakular: Suara Dong Zong, Hua Zong, MCA, DAP lebih didengari
Berbanding NGO prihatin dengan masalah dibawa oleh sekolah itu
BANGI, 7 Muharram 1442H, Rabu – Keputusan meneruskan projek pembinaan 10 sekolah vernakular dan memindahkan enam lagi ke kawasan lebih luas menjadi bukti betapa mudahnya kerajaan tunduk kepada pertubuhan radikal, Dong Zong.
Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin yang kecewa tindakan berkenaan menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, ia umpama mengkhianati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang selama ini berjuang demi menegakkan perpaduan kaum dengan menghapuskan sekolah berkenaan.
“Ternyata bahawa suara Dong Zong, Hua Zong, MCA dan DAP lebih didengari berbanding suara hati dan gabungan NGO yang prihatin dengan pelbagai masalah akibat sistem pendidikan vernakular ini.
“Buatlah apa sahaja, majoriti orang Cina di Malaysia akan tetap mengundi DAP dan kesatuan mereka akan kekal utuh demi ekonomi, budaya, pendidikan dan politik yang menjamin masa depan masyarakat Cina Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, rancangan kerajaan untuk membina 10 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baharu dan memindahkan enam yang lain ke kawasan lebih luas mendapat pujiann Dong Zong.
Presidennya, Tan Tai Kim berkata, pihak beliau gembira dengan pengumuman Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu, sambil menambah bahawa ia akan menyelesaikan masalah biik darjah yang sesak dan kesesakan lalu lintas di sekolah-sekolah ketika ini.