Berita Utama

8 anggota PDRM, ATM didakwa bantu sindiket jenayah terancang

Polis Johor beri amaran tiada tolak ansur anggota terlibat penjenayah

BANGI, 8 Muharram 1442H, Khamis – 19 anggota penguat kuasa terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disiasat kerana dipercayai membantu kumpulan sindiket jenayah terancang.

Kesemua individu yang ditangkap pada 12 hingga 19 Jun lalu, telah disiasat di bawah Kumpulan Jenayah Terancang dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan memutuskan untuk menuduh lapan anggota penguat kuasa – terdiri enam PDRM dan dua ATM – di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

“Walau bagaimanapun, dua anggota PDRM gagal hadir dan waran tangkap telah dikeluarkan ke atas mereka. Tarikh sebutan akan datang pada 15 Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob Khan berkata, tertuduh berumur di antara 24 hingga 53 tahun telah didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pagi ini.

Beliau berkata, pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Ketua Unit Jenayah Berat dari Pejabat Peguam Negara, Idham Abd Ghani.

“Seramai 51 ahli kumpulan jenayah terancang turut juga disebut semula pada hari ini di mahkamah sama di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

“Manakala tujuh lagi anggota untuk tindakan jabatan dan empat masih dalam siasatan,” katanya.

Serentak itu, beliau menasihatkan anggota penguat kuasa pelbagai agensi supaya tidak terlibat dan bersekongkol membantu atau menjadi ahli kepada kumpulan jenayah terancang.

Katanya, polis Johor tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button