Berita UtamaDunia

AS senarai hitam syarikat bantu China di Laut China Selatan

24 syarikat terlibat, sejumlah individu disekat visa

WASHINGTON, 8 Muharram 1442H, Khamis – Amerika Syarikat (AS) menyenarai hitam 24 syarikat China dan menyasarkan sejumlah individu yang didakwa menjadi sebahagian daripada tindakan pembinaan dan markas ketenteraan di pulau-pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Jabatan Perdagangan AS berkata, syarikat-syarikat itu memainkan peranan dalam membantu tentera China membina bangunan dan melakukan aktiviti ketenteraan di pulau-pulau buatan yang dikecam antarabangsa di Laut China Selatan.

Syarikat yang disenaraihitamkan oleh Jabatan Perdagangan AS termasuk Guangzhou Haige Communications Group dan beberapa syarikat yang nampaknya mempunyai kaitan dengan China Communications Construction Co, serta Beijing Huanjia Telecommunication, Changzhou Guoguang Data Communications, China Electronics Technology Group Corp dan China Shipbuilding Group.

Sementara itu, Jabatan Negara dalam satu kenyataan berasingan mengatakan, akan mengenakan sekatan visa kepada individu-individu China yang ‘bertanggungjawab atau terlibat dalam’ tindakan tersebut.

Langkah itu menandakan usaha terbaru pemerintahan Donald Trump untuk menidakkan syarikat yang produknya menyokong aktiviti ketenteraan China.

Kedutaan besar China di Washington bagaimanapun tidak membalas permintaan untuk memberi komen.

Sebelum ini, AS mendakwa China melakukan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan dan berusaha menakutkan jiran-jiran Asia yang mungkin ingin mengeksploitasi simpanan minyak dan gasnya yang banyak. 

AS telah melakukan operasi kebebasan navigasi dengan menghantar kapal perang ke kawasan itu untuk menegaskan kebebasan akses ke saluran air antarabangsa.

China pula menuntut 90 peratus Laut China Selatan yang kaya dengan sumber, tetapi Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga menuntut sebahagian kawasan di mana sekitar $3 trilion perdagangan dilalui setiap tahun. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button