Berita Utama

PRN Johor: Proses pengundian berjalan lancar

Tanpa ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku

JOHOR BAHRU, 9 Syaaban 1443H, Sabtu – Proses pengundian di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar dan selamat setakat ini, tanpa ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya juga tidak menerima laporan sama ada berhubung kekecohan atau pergaduhan terjadi di pusat mengundi.

“Proses mengundi di tempat mengundi berjalan dengan lancar, tiada juga (laporan) kejadian pergaduhan atau kekecohan diterima,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan seramai 11,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan dan memantau kelancaran proses mengundi di pusat-pusat mengundi.

Kamarul Zaman berkata beliau telah meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan IJ Convent, di sini pagi tadi.

Beliau berkata aliran trafik di lebuh raya juga berjalan lancar tanpa berlaku kesesakan berikutan pegawai dan anggota trafik sentiasa mengawal lalu lintas.

“Aliran trafik di lebuh raya berjalan lancar, namun ada jalan di kawasan Tiram yang agak perlahan sedikit kerana awal pagi (orang keluar mengundi), tetapi selepas itu lancar,” katanya.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian hari ini dan setakat pukul 2 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan sebanyak 40 peratus pengundi telah keluar mengundi.

Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 239 calon daripada 15 parti politik bertanding. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button