Berita Utama

Jangan persoal semangat cinta negara pelajar vernakular: Dong Zong

Dakwa pembelajaran guna bahasa ibunda tak halang perpaduan

BANGI, 8 Muharram 1442H, Khamis – Pengerusi Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim membantah kenyataan ‘mengelirukan’ Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung sekolah vernakular.

Beliau berkata, dari dulu hingga sekarang, ramai menteri Kabinet dan Ahli Parlimen bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Justeru katanya, semangat cintakan negara pelajar sekolah vernakular tidak patut dipersoalkan bahkan tegas beliau, semua sekolah vernakular menggunakan sukatan pelajaran yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Malah mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah adalah subjek wajib di SJKC dan SJKT, oleh itu tidak timbul soal penguasaan bahasa Melayu dan kesedaran nasional, katanya.

“Sebaliknya, sistem pendidikan pelbagai aliran selalu menjadi korban persaingan politik dan sering dipersalahkan,” katanya seperti dipetik Sin Chew Daily, semalam.

Merujuk kepada kenyataan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mahu penutupan sekolah vernakular secara berperingkat dilakukan, Tai Kim berkata, pendidikan pelbagai aliran atau pendidikan vernakular diiktiraf UNESCO sebagai kaedah pembelajaran terbaik.

Katanya, pada realiti dan menurut kajian, pembelajaran menggunakan bahasa ibunda tidak menghalang perpaduan antara kaum.

Beliau berkata, Dong Zong berpendapat, kerajaan sepatutnya menjangkau lebih jauh daripada pemikiran perkauman serta meningkatkan kualiti pendidikan yang sedia ada demi rakyat dan satu-satunya cara untuk mencapai semua itu adalah dengan memajukan pendidikan berteraskan bahasa ibunda.

Kata Tai Kim, dalam Perlembagaan negara Perkara 152(1)(a) dengan jelas menyatakan hak setiap kaum mempelajari dan mengajar bahasa ibunda mereka.

“Dong Zong berpendapat sebagai negara majmuk, nasionalisme Malaysia patut berteraskan kepelbagaian budaya dengan kata lain menghormati dan bertoleransi dengan pelbagai budaya dan bahasa dari semua kaum. Ini tidak sama sekali menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan komunikasi dalam masyarakat.

“Sebaliknya, penghormatan yang diberikan kepada hanya satu bahasa dan budaya adalah bertentangan dengan ciri-ciri masyarakat kita dan merosakkan keharmonian sosial,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button