Berita Utama

MCA bangkang mansuh vernakular, dakwa bukan punca perpecahan

Pemimpin parti itu pula cadang rakyat belajar bahasa kaum lain

BANGI, 8 Muharram 1442H, Khamis – Gesaan agar sekolah vernakular dimansuhkan yang kembali menjadi perbualan hangat nampaknya amat tidak disenangi parti berasaskan kaum Cina, MCA.

Menyelar perkara itu, Ketua Pemudanya, Nicole Wong Siaw Ting berpandangan bahawa cadangan pemansuhan sekolah vernakular di Malaysia tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bahkan, Nicole menyifatkan Ketua Armada Bersatu itu membuat kenyataan sedemikian semata-mata kerana mahu meraih publisiti murahan.

Tidak berpuas hati dengan syor itu, beliau malah berkata, tindakan menyalahkan sistem pendidikan negara tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan perpaduan di Malaysia secara menyeluruh.

“Sekolah vernakular sering dipersalahkan secara tidak adil kerana kononnya tidak menyemai semangat perpaduan nasional, sedangkan terdapat banyak lagi faktor lain yang menyebabkan perpecahan kaum,” kata Nicole.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan MCA Terengganu, Chew Sir Boon pula meminta Wan Ahmad Fahsyal menjaga hak setiap kaum yang diwarisi semenjak kemerdekaan. 

“Ini negara kita Malaysia. Ya saya faham semua orang berhak untuk memberikan pandangan masing-masing.

“Tanya sikit, berapa ramai anak-anak pemimpin dihantar ke sekolah kerajaan. Saya rasa kebanyakan mereka hantar ke sekolah persendirian. Suruhlah pemimpin hantar anak mereka ke sekolah kerajaan terdahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Sir Boon mengesyorkan rakyat Malaysia untuk mempelajari bahasa setiap kaum di negara ini.

“Contoh ya, orang Melayu boleh bertutur Cina dan India. Orang Cina boleh bertutur Melayu, India dan orang India boleh bertutur Melayu dan Cina. Kan bagus,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button