Berita Utama

Pendapatan rakyat masih rendah, kerajaan tak boleh laksana GST

Negara ada 130,000 keluarga miskin dan miskin tegar kategori B40

KUALA LUMPUR, 21 Syaaban 1444H, Selasa – Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi bahawa pendapatan rakyat perlu ditingkatkan terlebih3 dahulu sebelum GST dikembalikan.

“Saya sebelum ini menegaskan bahawa dari segi kecekapan dan sistem percukaian yang telus, kita belum bersedia untuk3 melaksanakan GST lagi.

“Pendapatan rakyat masih sangat rendah. Oleh itu, kita tidak akan dapat mengembalikan semula GST dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

“Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Barang Mewah yang kita perkenalkan baru-baru ini adalah lebih daripada mencukupi untuk negara memperoleh pendapatan tambahan, selain menjadi langkah utama untuk menghapuskan pengelakan cukai,” katanya pada Waktu Soal Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Perikatan Nasional-Tanjong Karang) sekiranya kerajaan bercadang untuk mengembalikan semula GST selepas pilihan raya negeri yang akan berlangsung tahun ini.

Memetik negara lain seperti sistem percukaian Singapura, Kanada dan New Zealand, Anwar berkata, Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi memenuhi pendapatan minimum bagi pengembalian semula GST.

“Rakyat mereka mempunyai pendapatan minimum untuk GST (dan) jika kita bandingkan, kita mempunyai kira-kira 130,000t keluarga miskin dan miskin tegar daripada kategori B40. Oleh itu, ini tidak boleh dilakukan sekarang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan kumpulan elit yang mengelak daripada membayar cukai dan mempunyai akaun di luar negara.

“Keadaan sedemikian berlaku di mana mereka mengelak daripada membayar cukai dan menghantar wang mereka ke luar negara. Ini juga sebab saya meminta pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat, termasuk yang dilaporkan dalam Kertas Pandora.

“Malangnya, ramai antara kita masih mempertahankan golongan sebegini dengan menggunakan kes sebelum ini sebagai contoh. Namun saya tidak kisah ia kes baharu atau lama.

“Jika anda terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan mencuri wang rakyat, anda masih perlu membayar apa yang anda berhutang kepada negara,” katanya.

Sebelum ini, Anwar berkata, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST atau sebarang cukai penggunaan meluas bagi mengurangkan hutang negara.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya akan memilih langkah lain untuk mengurangkan perbelanjaan negara dan liabiliti kerajaan yang mencecah RM1.5 trilion, merangkumi 82 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button