Vernakular telah majukan negara: Jiao Zong
Orang politik guna sekolah pelbagai aliran modal raih sokongan
BANGI, 8 Muharram 1442H, Khamis – Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Datuk Ong Chiow Chuen mendakwa, isu sekolah pelbagai aliran yang diperbesarkan oleh individu menghasut dengan sentimen etnik sebenarnya batu penghalang perpaduan dan kemajuan negara.
Beliau dengan keras membidas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyeru kepada penutupan sekolah pelbagai aliran.
Chiow Chuen mendakwa, kenyataan itu bukan sahaja melanggar Perlembagaan negara yang melindungi hak pelbagai kaum mempelajari bahasa ibunda, bahkan sengaja membakar sentimen etnik dan menyebarkan kebencian, merosakkan keharmonian serta perpaduan negara.
Dakwanya, sekolah pelbagai aliran telah wujud sebelum merdeka dan ia bukan sahaja tidak menghalang perpaduan nasional, bahkan telah memajukan negara selain memberi sumbangan besar dan penting kepada negara.
“Yang menyedihkan ialah sejak merdeka hinggalah sekarang, demi agenda peribadi masing-masing, orang politik tidak putus-putus sengaja membesar-besarkan kewujudan sekolah pelbagai aliran dengan kenyataan yang tidak benar.
“…dengan usaha membakar sentimen etnik inilah sebenarnya batu penghalang kepada perpaduan dan kemajuan negara,” katanya seperti dilapor Sin Chew Daily, semalam.
Chiow Chuen berkata, sekolah pelbagai aliran menggunakan sukatan pelajaran yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar nilai yang sama dapat diterapkan dalam diri setiap pelajar.
Selain itu katanya, bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib, jadi ia sememangnya tidak menyebabkan perpecahan kaum.
“Pada realitinya, sekolah pelbagai aliran dibuka untuk pelajar pelbagai kaum, misalnya sekarang 18 peratus pelajar SJKC adalah bukan Cina dan bilangan ini meningkat saban tahun membuktikan SJKC sememangnya bukan sekolah yang mengamalkan sikap perkauman.
“Sebagai sebuah negara majmuk, kewujudan sekolah pelbagai aliran sememangnya menepati keadaan negara. Selain menjadi kelebihan yang unik untuk negara, ia juga mendapat pujian masyarakat antarabangsa,” katanya.
Chiow Chuen mendakwa, ketidakadilan dalam pemerintahan negara punca sebenar rakyat berbilang kaum tidak berpuas hati, langsung tiada kena-mengena dengan sekolah pelbagai aliran.
Untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap ketidakadilan dalam pemerintahan terutamanya ketika berlaku persaingan politik, demi kepentingan peribadi, orang-orang politik akan menggunakan sekolah pelbagai aliran sebagai modal politik untuk mendapat sokongan, dakwanya.
“Sekiranya benar hanya sistem pendidikan satu aliran yang boleh menyatupadukan rakyat, maka tidak akan wujud banyak parti politik yang terdiri daripada orang Melayu yang menerima pendidikan satu aliran dari sekolah rendah, menengah sehinggalah universiti yang saling berbalah dan bersaing secara hidup mati,” katanya.
Beliau menggesa agar ahli politik berhenti menggunakan muslihat yang tidak bertanggungjawab ini.
Katanya, mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting seperti usaha untuk memperbaiki ekonomi negara dan membanteras wabak penyakit demi kebajikan rakyat.