Berita Utama

ANGKASA cabar MCA debat isu sekolah vernakular

Setakat ini Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong belum beri kata putus

BANGI, 9 Muharram 1442H, Jumaat – Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) mencabar Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting berdebat secara terbuka susulan kenyataannya membidas gesaan memansuhkan sekolah vernakular.

Ketuanya, Hazwan Mohamad berkata, pihaknya juga mengalu-alukan mana-mana media yang ingin bersama menawarkan platform perdebatan itu.

“Saudara Nicole, cadangan memansuhkan sekolah vernakular dan menyatukan sistem pendidikan ini adalah sebahagian daripada transformasi yang selari dengan peredaran zaman,” selarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Hazwan berkata, setakat ini tiada satu bangunan pun yang menempatkan sekolah vernakular di negara-negara lain di seluruh dunia – termasuk negara jiran.

Beliau berkata, negara-negara lain berjaya memecahkan salah satu tembok penghalang bagi perpaduan anak-anak watan tanah air.

Katanya, hanya Malaysia sahaja yang masih berpolemik dan berpolitik menentang sistem pendidikan yang ditinggalkan bekas penjajah.

“Ayuh, kita merdekakan sistem pendidikan kita. Sesungguhnya masa hadapan yang lebih gemilang memerlukan semua pihak untuk berani dan berjiwa besar untuk satukan sistem pendidikan negara kita.

“Jangan biarkan anak-anak Malaysia terpisah bumbung pendidikan mereka,” tegasnya.

Ketika ditanya sama ada Nicole telah terima pelawaan perdebatan itu, Hazwan berkata, Ketua Pemuda MCA itu masih belum memberikan sebarang respon.

Gesaan agar sekolah vernakular dimansuhkan yang kembali menjadi perbualan hangat kelihatan amat tidak disenangi MCA.

Menyelar perkara itu, Nicole berpandangan bahawa cadangan pemansuhan sekolah vernakular di Malaysia tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bahkan, Nicole menyifatkan Ketua ARMADA BERSATU itu membuat kenyataan sedemikian semata-mata kerana mahu meraih publisiti murahan.

Tidak berpuas hati dengan syor itu, beliau malah berkata, tindakan menyalahkan sistem pendidikan negara tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan perpaduan di Malaysia secara menyeluruh.

“Sekolah vernakular sering dipersalahkan secara tidak adil kerana kononnya tidak menyemai semangat perpaduan nasional, sedangkan terdapat banyak lagi faktor lain yang menyebabkan perpecahan kaum,” kata Nicole.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button