Berita UtamaDunia

COVID-19: Penduduk Paris wajib pakai pelitup muka

Lebih 5,400 kes baharu dalam tempoh 24 jam, pesakit di ICU meningkat

PARIS, 9 Muharram 1442H, Jumaat – Pemakaian pelitup muka kini diwajibkan di seluruh bandar raya Paris bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri Perancis, Jean Castex berkata, perintah itu akan berkuatkuasa bermula jam 8 pagi hari ini, di Paris dan di sekitar bandar berhampiran.

Menurutnya, angka rasmi yang dikeluarkan pada Rabu merekodkan lebih 5,400 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam, selain jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) terus meningkat.

Pihaknya turut tidak menafikan peningkatan wabak COVID-19 di seluruh Perancis.

“Dalam ujian saringan mendapati 39 positif dalam setiap 100,000 penduduk, iaitu empat kali ganda dalam tempoh sebulan lalu, membabitkan semua peringkat usia.

“Peratusan yang kembali positif meningkat satu peratus pada Mei lalu. Kira-kira 10 orang yang dijangkiti akan menjangkiti 14 yang lain secara purata.

“Lebih daripada 800 pesakit coronavirus dimasukkan ke hospital setiap minggu, berbanding 500 pesakit pada enam minggu lalu, katanya dalam sidang akhbar.

Castex berkata, wabak berkenaan semakin meningkat dan sekarang adalah waktu untuk ‘campur tangan’ bagi mengekang jangkitan eksponensial.

Pada masa sama, beliau berkata, Paris adalah salah satu daripada zon aktif COVID-19, justeru, pemakaian pelitup muka dikuatkuasakan ke atas seluruh penduduk di bandar itu, termasuk pejalan kaki dan penunggang motosikal.

Sebelum ini, pelitup muka telah diwajibkan untuk pengangkutan awam di seluruh negara. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button