Pendapat

Lepas UEC, SJKC bimbang kerajaan kompromi isu kebun haram: ISMA

Semua parti politik kini cuba tagih sokongan Cina kerana PRU-15

KITA memerhati rapat isu penerokaan tanah secara haram penanaman durian di Raub, Pahang serta segala gelagat pihak yang terlibat termasuklah ahli-ahli politik.

Isu ini mula menjadi kegusaran dan menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan rakyat kerana isu ini terbongkar selepas 40 tahun, melibatkan tanah seluas ribuan ekar dan ratusan ‘pekebun’ haram. Bagaimanakah kegiatan sebesar ini boleh terlepas hanya selepas puluhan tahun?

Apakah wujudnya salahguna kuasa atau ‘deal’ belakang tabir antara pihak berkuasa dengan pengusaha-pengusaha tanaman durian ini selama puluhan tahun ini? Kita desak SPRM siasat secara serius akan segala kemungkinan dan ruang yang boleh berlaku.

Selain itu, kita mahu tanya juga, apakah ada terlibatnya ahli-ahli perniagaan warganegara China dalam isu ini? Segalanya nampak sungguh tersusun cantik, lebih-lebih lagi ianya melibatkan tanah ribuan ekar. Tidak mungkin ianya diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil semata-mata, seperti yang dilihatkan kepada kita. Mungkin di sini pihak imigresen juga boleh siasat dan campur tangan.

Isu ini menjadi lebih menarik apabila parti-parti politik Cina mula campurtangan dan berlumba-lumba menjuarai isu dengan membela pekebun-pekebun haram ini. Mereka asak kiri dan kanan, iaitu dengan menekan menggunakan parti cina di pihak pembangkang dan melobi menggunakan parti cina di pihak kerajaan, dan akhirnya dilengkapi dengan desakan NGO-NGO Cina.

Maka, kita bimbang kerajaan akan berkompromi lagi dengan desakan mereka lebih-lebih lagi semua parti politik sedang cuba menagih sokongan masyarakat Cina kerana PRU-15 sudah semakin hampir. Lihat sahaja bagaimana kerajaan berkompromi dengan UEC, janji pembinaan lebih banyak SJKC baharu dan jaminan untuk mengekalkan sistem sekolah vernakular.

Dalam isu penerokaan tanah secara haram sebegini, jika ‘dihalalkan’, saya bimbang banyak tanah lain boleh ‘dihalalkan’ menggunakan modus operandi yang sama. Berapa banyak lagi tanah yang akan hilang nanti?

Oleh itu, kita menyeru rakyat agar terus cakna akan isu-isu semasa lebih-lebih lagi PRU sudah semakin hampir kerana banyak keputusan yang salah boleh dihalalkan atas nama percaturan politik.

Haji Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button