Netflix Malaysia kurang ajar persenda bahasa Melayu
Sila mohon maaf, hapus ciapan tak wajar di Twitter
BANGI, 9 Muharram 1442H, Jumaat – Ciapan kurator Netflix Malaysia di laman sosial Twitter, beberapa hari lalu yang bertanyakan kepada pengikutnya apa tajuk filem atau drama yang kedengaran lawak jika diterjemah kepada bahasa Melayu, disifatkan sebagai tidak wajar.
Lebih dikesalkan apabila ciapan itu mengundang respon kurang enak dari pengguna laman Twitter yang seolah-olah menganggap terjemahan tajuk filem atau drama ke bahasa Melayu tidak menarik untuk dibaca dan didengari.
Ahli Jawatankuasa Seni dan Budaya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Nor Syamimi Musa berkata, selepas empat hari ciapan itu disiarkan, ia masih tidak dihapuskan walaupun ramai yang sudah menegur secara terus.
Bahkan, katanya, tiada permohonan maaf dari pihak berkenaan.
“Ini menggambarkan sikap tidak sensitif pihak Netflix Malaysia. Sudahlah begitu, ciapan tersebut turut menggunakan bahasa rojak.
“Kelakarkah kalian berbuat begitu wahai Netflix Malaysia?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, dalam salah satu ciapan balas, kurator Netflix Malaysia mempersendakan karya sastera negara dengan mengatakan bahawa terjemahan kepada Jane Si Anak Dara seperti pelajaran Komsas Tingkatan Empat.
“Adakah kuratornya cuba mengatakan bahawa tajuk-tajuk komponen sastera pelajar sekolah sesuatu yang kelakar? Hal ini amat tidak wajar. Karya sastera dan kreatif merupakan khazanah yang dihasilkan dengan keringat penulis.
“Jika anda membaca karya atau menonton filem Inggeris, silakan. Cuma, hormat karya sastera negara kita… Tidak perlu kurang ajar memperlekeh bahasa Melayu. Maaf, saya terpaksa terus terang,” tegas Nor Syamimia.
Memberi ‘pengajaran’ kepada Netflix Malaysia, Nor Syamimi menegaskan, kerja penterjemahan mempunyai disiplinnya sendiri.
“Terjemahan bukan kerja mengalih maksud perkataan sahaja, tetapi memerlukan pengertian makna menyeluruh.
“Jangan mempersendakan bahasa kebangsaan dengan menterjemah secara langsung bahasa asing. Terjemahan tidak seharusnya dilakukan secara literal,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Syamimi berkata, apabila menyentuh soal bahasa, beliau selalu berasa cemburu dengan negara jiran.
“Cuba lihat akaun Netflix Indonesia. Mereka menggunakan bahasa Indonesia dalam ciapan di Twitter. Hal ini wajar dicontohi.
“Justeru, harapan saya, Netflix Malaysia tampil memohon maaf dan memadam siaran tersebut. Kita sudah 63 tahun merdeka. Sepatutnya tiada lagi keterlanjuran seperti ini.
“Sempena bulan kemerdekaan ini, mari kita perelokkan penggunaan Bahasa Melayu kita baik dalam penulisan mahupun pertuturan,” katanya lagi.