Berita Utama

Perlis kekalkan arahan jemaah bawa sejadah sendiri ke masjid

Menilai keperluan untuk patuhi SOP kesihatan, keselamatan

ARAU, 9 Muharram 1442H, Jumaat – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memutuskan agar jemaah terus kekal membawa sejadah sendiri ketika menunaikan ibadah di masjid.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah keputusan tersebut diambil setelah menilai keperluan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan bagi mengelakkan kemungkinan penularan semula wabak COVID-19 di negeri ini.

“Saiz sejadah hendaklah melitupi keseluruhan ruang solat setiap jemaah, dari tempat berdiri sehingga ke tempat sujud,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Baginda, yang juga Yang Dipertua MAIPS, bertitah penggunaan sejadah sendiri wajar dijadikan sebagai satu budaya baharu bagi mengekalkan kawalan kendiri yang tinggi tidak mengira tempat sama ada di tempat kerja, sekolah atau ketika bermusafir.

Selasa lalu, kerajaan bersetuju untuk tidak lagi mewajibkan individu yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid membawa sejadah sendiri tetapi pelaksanaannya tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri.

Namun begitu, penggunaan sejadah sendiri adalah digalakkan dan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 9,291 jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini dan Perlis merekodkan 32 kes dengan pertambahan satu kes baharu, Selasa lalu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button