PPMM rayu gugur kes penghantar makanan didakwa merusuh
Keputusan representasi diumum mahkamah pada 29 September
PETALING JAYA, 9 Muharram 1442H, Jumaat – Mahkamah Majistret Petaling Jaya menetapkan 29 September depan bagi sebutan semula kes berkaitan enam penghantar makanan yang menghadapi pertuduhan melakukan rusuhan – didakwa dianiaya – di sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong pada 18 Mei lalu.
Pengerusi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya telah meminta mahkamah meminda tarikh berkenaan bagi menyediakan representasi kepada pendakwa raya untuk menggugurkan kes berkenaan.
“Dan mahkamah tetapkan tarikh itu bagi sebutan semula kes untuk kami mengetahui sama ada representasi kami akan diterima atau sebaliknya.
“Hari ini adalah sebutan kes untuk pendakwa raya memberi dokumen-dokumen berkaitan kepada peguam-peguam.
“Jadi, sebentar lagi, dokumen itu akan dikemukakan kepada peguam-peguam dan seterusnya, ” katanya dalam sidang media bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan lima penghantar makanan terbabit, hari ini.
Sebelum ini, mereka – ‘rider Food Panda’ – berkumpul di hadapan premis terbabit sebagai tanda protes terhadap seorang lelaki bertindak kasar dengan menendang seorang wanita penghantar makanan hingga terjatuh.
Lelaki terbabit dipercayai tidak berpuas hati kerana wanita yang menunggang motosikal itu memotong ketika dia ingin membuat pusingan U. Akibat kejadian itu, lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah sebelum bertindak menolak mangsa.
Muhammad Hafiz Yusnan, 21; Muhamad Izzat Abd Bari, 22; Mohd Syukri Achyar, 39; Wan Hafizie Wan Hanapi, 28; S Jaya Nantha Kumaran, 31, dan Amirul Zahari Zailani, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.
Semua tertuduh didakwa bersama-sama 10 orang lagi yang masih bebas melakukan rusuhan itu pada 6.20 petang mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.