Berita Utama

11 kes baharu, hanya 1 penularan tempatan

10 kes import, 6 rakyat Malaysia dan 4 lagi adalah warga asing

KUALA LUMPUR,10 Muharram 1442H, Sabtu – Malaysia merekodkan 11 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan 10 kes import dan satu kes penularan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif di Malaysia setakat ini sebanyak 9,317 kes sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pada masa ini sebanyak 154 kes.

“Daripada 10 kes import itu, enam merupakan rakyat Malaysia dan empat lagi adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan harian COVID-19 hari ini.

Katanya, lapan kes import tersebut dari India (7 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan 1 di Selangor) serta masing-masing satu dari Indonesia (dilaporkan di Selangor) dan Qatar (dikesan di Kuala Lumpur).

Kes tunggal penularan tempatan pula melibatkan rakyat Malaysia di Sarawak yang dikesan melalui saringan prapembedahan di Hospital Umum Sarawak, katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi tempoh sama hingga 12 tengah hari tadi, terdapat lapan kes pulih menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 seramai 9,038 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Hingga kini terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan enam memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes (1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan siasatan mengenai kes positif COVID-19 dalam kalangan anggota di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka selepas tiga kes dikesan di hospital berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak Angkatan Tentera Kem Terendak bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah membuat penilaian risiko ke atas anggota,” katanya.

Beliau berkata setakat hari ini (29 Ogos), seramai 109 orang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif tersebut dan mereka telah disaring dan kini menunggu keputusan ujian COVID-19.

“Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah diberikan kepada kontak rapat. Bagi individu yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan teruk, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi dan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan masih diteruskan serta situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button