Berita Utama

Bina 10 SJKC? Timbalan Menteri kata bukan warta baru tapi cerita lama

Cadangan bina sekolah terbabit tidak termasuk dalam RMK-11

BANGI, 10 Muharram 1442H, Sabtu – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung cadangan pembinaan dan pemindahan 10 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, mungkin berlaku sedikit kekeliruan berhubung laporan terbabit sekali gus boleh membangkitkan sentimen perkauman.

“Warta itu bukan warta baharu sebaliknya merupakan cerita lama yang cuba dibangkitkan semula oleh pihak tertentu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muslimin menegaskan cadangan pembinaan sekolah terbabit juga tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Justeru beliau menggesa semua pihak terutama pengendali media sosial berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keharmonian kepelbagaian kaum di negara ini.

“Perkara ini perlu diambil perhatian serius kerana kita takut ia membongkar semula perkara lama serta boleh menimbulkan sentimen masyarakat yang sedang kita bina dengan semangat perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar berbahasa Inggeris, The Star melaporkan bahawa pertubuhan Cina, Dong Zong memuji rancangan kerajaan membina 10 buah SJKC baharu dan pemindahan enam SJKC sedia ada ke tapak yang lebih besar.

Presidennya, Tan Tai Kim berkata, dia menyambut baik pengumuman rancangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk menambah SJKC, bagi menyelesaikan masalah bilik darjah dan kesesakan lalu lintas.

Akhbar berkenaan yang memetik Sin Chew Daily berkata, rancangan itu dipuji kerana disambung semula selepas ditangguhkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button