Uncategorized

Tahanan Palestin meninggal dunia selepas 86 hari mogok lapar

Israel dakwa Sheikh Khader enggan jalani pemeriksaan, terima rawatan

RAMALLAH, 11 Syawal 1444H, Selasa – Seorang tahanan Palestin, Sheikh Khader Adnan disahkan meninggal dunia oleh pihak berkuasa Israel pagi ini, selepas 86 hari mogok lapar sebagai protes terhadap penahanan pentadbiran ke atasnya.

Sheikh Khader, 45, seorang anggota kanan gerakan Jihad Islam Palestin di Tebing Barat ditemukan tidak sedarkan diri di dalam selnya di penjara Nitzan Israel, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Assaf Harofeh.

Bapa kepada sembilan anak itu memulakan mogok lapar pada 5 Februari berikutan membantah penahanan tidak wajar oleh pihak berkuasa pendudukan Israel.

Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) mendakwa, Sheikh Khader juga enggan menjalani pemeriksaan perubatan dan menerima rawatan.

Sheikh Khader adalah penduduk di bandar Jenin di utara Tebing Barat. Dia ditangkap sebanyak 13 kali oleh pendudukan Israel dan menghabiskan selama lapan tahun di penjara.

Dia juga sudah melancarkan lima kali mogok lapar dengan kali pertama berlaku selama 25 hari, diikuti 67 hari dan kali ketiga 58 hari.

Sheikh Khader melancarkan mogok lapar buat kali keempat pada 2018 untuk membantah penahanan pentadbirannya dan ia berterusan selama 54 hari.

Pada tahun 2021, dia sekali lagi melakukan perkara sama untuk tempoh 25 hari. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button