Berita UtamaIstimewa

Gesa kerajaan Pahang bawa isu pekebun durian haram ke mahkamah

Khuatir ada unsur penyelewengan, mustahil tak sedar tanah diceroboh

BANGI, 10 Muharram 1442H, Sabtu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pahang menuntut kerajaan negeri menggunakan undang-undang sedia ada dalam menangani kes pencerobohan tanah rizab oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Badan Perhubungan BERJASA Pahang, Dr Mohd Nor Sundari menegaskan, mengikut Kanun Tanah Negara 1965, berdasarkan Seksyen 425, penceroboh boleh diambil tindakan undang-undang.

“Justeru, BERJASA meminta kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

“Siasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak polis dan SPRM bagi membongkar sebarang salah laku dan penyalahgunaan kuasa oleh agensi-agensi kerajaan yang terbabit.

“…khususnya Jabatan Tanah dan Galian dan Jabatan Perhutanan dan Perhilitan yang selama ini berdiam diri apabila berlaku pencerobohan tanah-tanah rizab kerajaan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BERJASA Pahang berkata, gesaan itu juga susulan bimbang ada unsur-unsur penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan para penguat kuasa.

Katanya, ini kerana mustahil agensi-agensi terbabit tidak menyedari berlakunya pencerobohan dan pembukaan tanah secara besar-besaran menjangkau seluas 4,400 hektar tanah rizab kerajaan di Raub.

“Keadaan ini telah pun berlaku selama 40 tahun. Aktiviti-aktiviti haram ini menyebabkan kerajaan negeri kehilangan berjuta-juta ringgit setiap tahun. Sesuatu yang sangat pelik dan mustahil apabila aktiviti haram ini tidak diketahui dan disedari oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, BERJASA mendesak agar satu siasatan oleh pihak polis dan SPRM dijalankan secara menyeluruh membabitkan semua daerah di Pahang bagi memastikan setiap hektar tanah rizab kerajaan tidak dicerobohi.

“Bahkan kerajaan negeri juga dapat merancang projek-projek yang boleh mendatangkan pulangan yang baik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button