Berita Utama

SPRM takkan wujudkan garis panduan baharu pemberian bantuan pilihan raya

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sudah ada, calon hanya perlu patuhi undang-undang

PUTRAJAYA, 13 Muharam 1445H, Isnin – Tiada garis panduan baharu berhubung pemberian bantuan semasa pilihan raya akan diwujudkan kerana isu berkaitannya sudah mempunyai perutunkan khusus dalam undang-undang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, peruntukan ‘do and don’t’ berkaitan pilihan raya adalah jelas termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Ada undang-undang, Seksyen 10 di bawah akta itu jelas tentang do and don’t yang perlu dipatuhi oleh setiap calon pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar satu garis panduan khusus dikeluarkan berhubung pemberian bantuan semasa pilihan raya.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, garis panduan berkenaan penting agar semua pihak mengetahui bentuk bantuan yang dibenarkan sepanjang pilihan raya.

Bercakap mengenai perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada 12 Ogos, Azam berkata, setakat ini SPRM belum menerima apa-apa laporan berkaitan rasuah.

SPRM melancarkan tujuh bilik gerakan sempena PRN dan PRK iaitu di Ibu Pejabat SPRM, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu yang akan beroperasi selama 24 jam bermula 29 Julai sehingga 12 Ogos.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button