Berita UtamaDunia

Israel bohong! Hanya 70,000 penduduk pindah ke selatan Gaza

Naratif palsu rejim sebahagian daripada perang psikologinya

GAZA, 2 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Jurucakap kerajaan di Gaza menyangkal dakwaan tentera pengganas Israel kononnya 600,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal akibat peperangan berterusan dengan Hamas.

Menurutnya, hanya 70,000 orang dipindahkan dari utara Gaza ke selatan.

“Penceroboh (tentera Israel) terus menyebarkan pembohongan dan dakwaan sebagai sebahagian daripada perang psikologinya, di samping pencerobohan ketenteraan kejamnya terhadap rakyat kita,” kata ketua pejabat media kerajaan Hamas, Salama Marouf pada sidang akhbar.

Beliau berkata, yang terkini adalah laporan The Washington Post semalam mengenai jurucakap tentera Israel yang mendakwa pemindahan lebih 600,000 rakyat dari utara Gaza, ke arah kawasan yang kononnya ‘selamat’ di selatan Gaza.

“Hagari (jurucakap Angkatan Pertahanan Israel) dengan mudah terlupa bahawa apa yang dipanggil ‘kawasan selamat’ yang dikatakannya sedang dihujani dengan banyak bom letupan dan memusnahkan seluruh kawasan kediaman, sama seperti yang berlaku sepanjang Semenanjung Gaza,” katanya.

Marouf berkata, ini membawa kepada ‘percanggahan dan kekeliruan dalam kenyataan, selain mengesahkan dakwaan serta naratif palsu mengenai angka pemindahan ini dari utara Gaza’.

“Berbeza dengan dakwaan pendudukan, anggaran menunjukkan bahawa hanya kira-kira 70,000 orang dipindahkan dari utara Gaza ke arah selatan dan mereka berada di 12 pusat perlindungan.

“Mereka yang kehilangan tempat tinggal menderita kerana Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) tidak memberikan mereka apa-apa makanan atau bahan bantuan lagi.

“Ia menyebabkan ratusan daripada mereka pulang ke rumah mereka di utara Gaza semalam dan mengumumkan ribuan lagi dijangka pulang dalam beberapa jam akan datang,” katanya.

Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik, manakala hampir kehabisan bekalan air, makanan, bahan api serta perubatan ketika orang awam melarikan diri ke selatan berikutan amaran Israel untuk mengosongkan kawasan utara.

Hamas pada 7 Oktober lalu memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa terhadap rejim haram Israel, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Serangan itu sebagai tindakan balas terhadap serbuan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan keganasan penceroboh Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Tentera Israel kemudian melancarkan operasi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza sudah meningkat kepada 2,750, termasuk 750 kanak-kanak.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button