Berita UtamaDunia

Mesir tangkap pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin

Ribuan ahli, penyokong dipenjara sejak Morsi diguling rejim tentera

KAHERAH, 10 Muharram 1442H, Sabtu – Mesir menahan seorang pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin dalam usaha membanteras kumpulan Islam, semalam.

“Pihak keselamatan negara memaklumkan mengenai penangkapan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mahmud Ezzat,” menurut Kementeriam Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, Ezzat ialah pemangku pemimpin tertinggi organisasi antarabangsa berkenaan.

“Beliau ditahan di kawasan perumahan di timur ibu negara, walaupun terdapat desas-desus oleh pegawai Ikhwan bahawa beliau berada di luar negara,” katanya.

Ezzat sebelum ini pernah dijatuhi dua hukuman mati tanpa kehadiran serta hukuman penjara seumur hidup.

Ezzat yang menjadi ahli kumpulan gerakan Islam itu sejak 1960, pernah dipenjara ketika pemerintahan Presiden Gamal Abdel Nasser dan Hosni Mubarak, serta menjadi pemangku pemimpin organisasi itu beberapa kali.

Mesir memenjara ribuan ahli dan penyokong kumpulan berkenaan sejak penggulingan Presiden Mohamed Morsi.

Morsi adalah presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi pada tahun 2012, tetapi digulingkan rejim tentera pada Julai 2013 – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button