Artikel KhasBerita UtamaPendapat

Perjuangan wanita masih belum tamat

Pemikiran, jati diri antara cabaran wanita masa kini

TAHUN ini kita menyambut kemerdekaan yang ke-63. Ia adalah satu perjalanan yang panjang untuk dikekalkan.

Jika dilihat kepada perjuangan dan sumbangan wanita dalam kemerdekaan ia tidak harus dipandang sebelah mata.

Wanita dahulu berhadapan dengan musuh yang nyata. Jepun, Inggeris, Portugis dan komunis.

Mereka bersinsing lengan dan bermandi darah untuk mempertahankan keluarga dan tanah air.

Sejarah telah menyaksikan bangsa ini bergadai nyawa sekian lama melawan musuh demi sebuah kedaulatan dan kemerdekaan.

Nama seperti Ibu Zain adalah antara tokoh wanita yang telah memberikan sumbangan yang tidak sedikit dalam kemerdekaan negara.

Dalam usaha untuk menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat, Ibu Zain telah bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain.

Beliau juga meredah hutan seorang diri bagi menjayakan misi tersebut dan ternyata usaha beliau membuahkan hasil.

Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Malah beliau mendaftarkan diri sebagai tentera sukarela pada zaman konfrontasi dengan komunis itu.

Selain itu, Ibu Zain turut membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar Jepun, di samping menjalankan usaha bagi memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun.

Bagi memastikan usahanya lebih berkesan, beliau telah mempelajari bahasa Jepun dan mampu menguasainya dalam tempoh sebulan sahaja.

Tindakan Ibu Zain bertindak di belakang tabir ini jelas memberi sumbangan yang besar terhadap proses kemerdekaan negara.

Wanita dahulu berhadapan dengan musuh yang nyata, iaitu zaman memperjuangkan kemerdekaan, kesusahan dan nasib malang yang menimpa bangsa sangat jelas dan nyata.

Contohnya adalah seperti nasib mereka ketika di bawah penjajahan British dan Jepun.

Semua itu menolak wanita untuk berjuang bersama-sama dengan kaum lelaki untuk mempertahankan negara.

Perjuangan untuk kelangsungan hidup anak bangsa dengan aman itu adalah suatu keperluan yang sangat mendesak.

Persoalannya, adakah perjuangan wanita untuk mempertahankan negara telah tamat?

Zaman sekarang seolah-olahnya hampir seperti tiada apa-apa isu. Semuanya nampak bahagia. Makan cukup. Pakai cukup. Hampir tidak nampak keperluan untuk berjuang. Benarkah begitu?

Hakikatnya musuh sentiasa berusaha untuk menjatuhkan kita. Mereka tidak akan senang untuk membiarkan kita terus ‘merdeka’ tanpa mengikut mereka walaupun sedikit.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120 ada menyebut;

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu),”

CABARAN WANITA MASA KINI

Antara cabaran wanita masa kini adalah pemikiran dan jati diri.

Cabaran pemikiran ini sangat halus. Ia umpama musuh yang tidak nyata. Ramai yang tidak menyedarinya.

Pemikiranlah yang membentuk peribadi seseorang. Ia umpama raja. Baik pemikiran baiklah penampilannya.

Wanita yang merdeka adalah apabila ia bebas dari pemikiran dan budaya hidup jahiliah.

Amat malang apabila kita menguar-uarkan kemerdekaan sedangkan seluruh aspek kehidupan seperti pemikiran, pendidikan, ekonomi dan kebudayaan masih dikuasai idea Barat.

Malah kehidupan jauh terpesong daripada kehidupan bangsa yang mulia kerana Islam.

Saban hari wanita diasak kanan dan kiri hingga terhakis identiti diri.

Wanita dimomok-momokkan seperti tertindas, tidak diberikan hak, didiskriminasi dan dizalimi.

Suara-suara menuntut persamaan hak dengan lelaki dilaungkan di sana sini.

Wanita juga dihidangkan dengan cara kehidupan mewah dan millenia dari Barat.

Berhias dengan perhiasan yang melampau. Berpakaian dengan pakaian yang mencolok mata.

Semua ini merupakan serangan pemikiran terhadap wanita. Sekiranya hari-hari wanita dihidangkan dengan perkara sebegini, memang akan ada yang terpengaruh dan termakan dengannya.

Maka wanita perlu bebas dari pemikiran sedemikian.

Kerana merdeka itu sendiri bermaksud bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.

Manusia yang merdeka juga adalah manusia bebas untuk menikmati kehidupan yang sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT.

Maka merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan bangsa malah kita bebas dari penjajahan pemikiran dan kebudayaan.

Marilah kita bersama mengangkat maruah dan kedudukan wanita sepertimana Islam telah mengangkatnya.

Walau dengan air mata darah, wanita perlu berjuang melepaskan diri dari cengkaman penjajahan ini sepertimana perjuangan wanita terdahulu dalam membebaskan negara.

Sesungguhnya perjuangan wanita masih belum tamat.

Ustazah Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button