Berita Utama

Saringan semua penduduk Amanjaya selesai seminggu lagi

Mereka yang dipakai gelang merah jambu, jangan ingkar arahan

PENDANG, 10 Muharram 1442H, Sabtu – Saringan COVID-19 ke atas semua 22,360 penduduk di kawasan Amanjaya, Sungai Petani yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar dijangka selesai dalam tempoh lebih seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat semalam, lebih 3,000 penduduk telah disaring manakala 2,000 lagi dijangka menjalani saringan hari ini.

“Kita yakin 22,360 penduduk di Amanjaya, Sungai Petani akan keluar melakukan saringan seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kita jangka saringan terhadap kesemua penduduk akan mengambil masa lebih seminggu.

“Cuma saya minta mereka yang dipakaikan gelang merah jambu, jangan pula ada yang ingkar arahan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid di Parlimen Pendang di sini.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD Bersasar di Amanjaya, Sungai Petani berkuat kuasa semalam sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak.

Perintah itu membabitkan tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur melibatkan sejumlah 22,360 isi rumah merangkumi 265 kediaman.

Mohd Hayati juga berkata, kerajaan negeri telah mengesyorkan kepada kerajaan persekutuan agar PKPD dilaksanakan secara lebih meluas di kawasan yang dikenal pasti dan beberapa kawasan lain bagi membendung penularan COVID-19 yang dicetuskan oleh beberapa kluster di negeri itu.

“Kita memang syorkan supaya PKPD ini diadakan dengan meluas kepada kerajaan persekutuan namun kita dimaklumkan mengenai kekangan antaranya dari segi penempatan anggota keselamatan yang terhad untuk mengawal kawasan yang luas.

“Selain itu, dana yang besar diperlukan untuk mengagihkan bantuan kepada penduduk terjejas atau berada di kawasan perintah terbabit,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close