Sikap degil, tamak Dong Zong tak patut dilayan
Mustahil KPM boleh pantau semua sekolah vernakular patuh syarat
BANGI, 10 Muharram 1442H, Sabtu – Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) kesal dengan cadangan pembinaan 10 lagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina yang baharu.
Terdahulu, akhbar berbahasa Inggeris, The Star melaporkan bahawa Dong Zong memuji rancangan kerajaan membina 10 buah SJKC baharu dan pemindahan enam SJKC sedia ada ke tapak yang lebih besar.
Presidennya, Tan Tai Kim berkata, dia menyambut baik pengumuman rancangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk menambah SJKC, bagi menyelesaikan masalah bilik darjah dan kesesakan lalu lintas.
Akhbar berkenaan yang memetik Sin Chew Daily berkata, rancangan itu dipuji kerana disambung semula selepas ditangguhkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Kesal dengan perkara itu, Timbalan Presiden PLM, Kamalshukri Abdullah Sani berkata, kedegilan Dong Zong sepatutnya tidak dilayan kerana amat jelas mereka enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan sehinggalah 63 tahun negara ini merdeka.
“Mereka tetap ingin bersendirian dengan sistem mereka sendiri tetapi kerana tamak tetap menuntut pengiktirafan daripada kementerian.
“Hal ini sungguh memalukan. Kementerian Pendidikan (KPM) dengan ratusan pegawai berkaliber dan lulusan sarjana serta kedoktoran gagal dan tidak berani memberi nasihat yang betul kepada mana-mana menteri dan timbalan menteri mengenai hal-hal berkaitan falsafah pendidikan kebangsaan dan prinsip pendidikan.
“Bahkan mengenai Perlembagaan, sekatan undang-undang, akta, syarat dan peraturan berkaitan penubuhan, penambahan sekolah vernakular, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.
Membidas lagi, beliau berkata, pihak kementerian sendiri telah menganjurkan pelbagai forum dan sesi pendengaran awam (town hall session) menyedari banyak perkara yang berkaitan UEC, misalnya kurikulum dan teks yang faktanya salah, tidak tepat serta bercanggah.
“Tetapi masih sanggup membiarkan menterinya merestui lulusannya walaupun kononnya hanya untuk pengajaran bahasa Mandarin sahaja.
“…sedangkan umum mengetahui bahawa kebanyakan guru di sekolah rendah dan sebahagian di sekolah menengah tidak terikat untuk mengajar satu mata pelajaran khusus sahaja sejak berpuluh tahun lagi atas sebab kekurangan tenaga pengajar dan sebagainya,” bidas beliau.
Dalam pada itu, Kamalshukri yakin bahawa mustahil KPM mampu memantau sekolah vernakular seluruh negara dan sepanjang masa bagi memastikan syarat itu dipatuhi.
“Sentiasa ada lompong yang amat selesa untuk pelanggaran sebarang syarat yang dikenakan. Akhirnya lulus jarum, luluslah kelindan.
“Lulusan yang asalnya dan sepatutnya tidak layak untuk mendapat permit mengajar walaupun satu pelajaran, akhirnya diupayakan mengajar pelbagai mata pelajaran,” katanya kesal.