Berita Utama

Hargai jasa wira kemerdekaan, perkukuhkan identiti dan jati diri

Kesucian agama, hak bangsa Melayu diancam dari pelbagai pihak

BANGI, 11 Muharram 1442H, Ahad – Sempena kemerdekaan negara yang ke-63 esok, umat Islam serta bangsa Melayu khususnya diajak bersama-sama menghayati serta menghargai jasa pejuang negara.

Sambil meluahkan rasa syukur, Pengerusi Media Isma Sdn Bhd, Dr Norzila Baharin berkata, nilai kemerdekaan yang dikecapi kini adalah hasil titik peluh perjuangan para ulama, wira-wira kemerdekaan, pemimpin-pemimpin Melayu, Majlis Raja-Raja serta rakyat biasa.

Katanya, mereka telah sedaya upaya berusaha mempertahankan agama Islam dan memelihara hak bangsa Melayu daripada cengkaman penjajah.

“Namun, kini kedua-duanya yakni kesucian agama Islam dan hak-hak bangsa Melayu diancam daripada pelbagai pihak dalam dan luar negara.

“Serangan itu dengan pelbagai cara yang mencemaskan kita. Identiti dan jati diri kita dirobek dan dicairkan hari demi hari.

“Justeru saya mengajak umat Islam dan bangsa Melayu khususnya untuk sama-sama hayati dan hargai perwira-perwira kemerdekaan, kukuhkan identiti dan jati diri kita serta kekalkan kesatuan kita dalam memelihara agama dan bangsa,” katanya dalam ucapan kemerdekaan disiarkan TV Pertiwi hari ini.

Pada masa sama, Dr Norzila berharap supaya generasi seterusnya akan terus kecapi nilai kemerdekaan sebenar seperti yang diidamkan generasi terdahulu.

“Kekalkan identiti serta bina peradaban bangsa. Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-63,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button