Berita Utama

MN perlu rampas kerusi Tg Malim

Jika ultra kiasu menang, pasti jadi 'king maker' hingga PN terpaksa tunduk

BANGI, 11 Muharram 1442H, Ahad – Kemenangan besar UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim adalah petanda parti itu perlu mengambil kembali kerusi Tanjung Malim dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, gabungan Muafakat Nasional (MN) – UMNO dan PAS perlu merampas kerusi Parlimen berkenaan daripada MCA.

“Percayalah, hasil kejayaan MN ini, jika terus diberikan kerusi tradisi ini (lebih kurang 15 kerusi Parlimen majoriti Melayu) kepada ultra kiasu MCA, tidak mustahil (pasti) mereka akan menang.

“Jika menang, pasti ultra kiasu pula yang akan menjadi ‘king maker’ sehingga PN (Perikatan Nasional) terpaksa tunduk kepada ultra kiasu ini.

“Akhirnya nanti, kita akan melihat lambakan tanah ‘Musang King’ yang haram akan dihalalkan, lambakan sekolah vernakulat akan didirikan, banyak lagi UEC ( Sijil Peperiksaan Bersepadu) akan diiktiraf dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Pada masa sama, beliau menyarankan MN untuk tidak meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada ultra kiasu meskipun berada dalam satu gabungan parti.

“Selagi mereka ini tidak kurangkan sifat ultra kiasu, selagi itu mereka tidak boleh dipercayai,” katanya.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti 10,945 undi.

Calonnya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, meraih 2,115 undi dan bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.

Mengulas lanjut, Prof Ridhuan Tee menolak jangkaan kaum Cina akan beralih menyokong dan mengundi MN atau PN, seperti yang akan didakwa MCA pada masa akan datang.

Beliau percaya, parti ultra kiasu akan terus mengatakan bahawa undi Cina telah beralih kepada MN atau PN.

“Ia kononnya bagi membolehkan ‘kerusi tradisi’ yang dimenangi di kawasan majoriti Melayu, seperti Slim dan Tanjung Malim akan terus dikekalkan kepada parti ultra kiasu berkenaan, meskipun mereka kalah pada PRU14.

“Jika ada undi Cina yang menyumbang kepada kejayaan calon UMNO (MN) dalam PRK Slim, ini kerana mereka ‘meluat’ kepada calon Melayu PH (Pakatan Harapan) iaitu Pejuang, tetapi bukan kepada calon ultra kiasu sebangsa dengannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button