Berita Utama

PH cabul kedaulatan undang-undang bela pekebun durian ‘haram’

Bagaimana pekebun durian usaha tanaman senyap-senyap hingga lebih 20 tahun?

BANGI, 11 Muharram 1442H, Ahad – Tindakan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Pahang yang menggesa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap pekebun yang mengusahakan tanaman durian secara haram di Raub, adalah tindakan politik yang mencabul kedaulatan undang-undang.

Yang Dipertua ISMA Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor menegaskan, perbuatan yang salah tetap salah, justeru pihak berkuasa mesti bertindak tegas tanpa memilih bulu.

Katanya, mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965, mengusahakan tanah kerajaan yang masih tiada keputusan/kelulusan adalah menjadi satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi satu tahun.

“Kita sebagai rakyat, menyokong ketegasan kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bertindak mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos lalu.

“Bukan soal ia bangsa mata sepet, tetapi kalau betul perlukan tanah buatlah dengan cara yang betul, bukan tanam durian secara haram, tak perlu bayar cukai tanah, jual pula Musang King dengan harga seketul emas,” katanya kepada Ismaweb.net.

Ustaz Norman berkata, lebih menyedihkan apabila pihak bertanggungjawab bertindak, para peneroka haram dan pembela mereka memberikan bermacam-macam alasan dan memohon belas kasihan sehingga tidak segan silu meminta ihsan Yang di-Pertuan Agong.

“Sedangkan mereka tak pernah pun nak dengar titah Tuanku. Dalam bab penggunaan tulisan Jawi contohnya, sehingga sanggup bersusah payah ke mahkamah untuk memfailkan bantahan terhadap titah Tuanku. Sungguh tiada maruah perbuatan sebegini.

“Apa yang dipersoalkan dalam hal ini ialah bagaimana para pekebun durian ini dengan berani dan yakin mengusahakan penanaman durian Musang King secara senyap-senyap sehingga lebih 20 tahun tanpa mendapat teguran dari mana-mana pihak.

“Mungkinkah ada pihak-pihak tertentu yang memberi jaminan kepada tindakan mereka. Mungkin juga mereka menggunakan ‘taktik-taktik kotor’ untuk mendiamkan pihak-pihak yang bertanggungjawab sekian lama sehinggalah perkara ini terbongkar akhir-akhir ini,” dakwanya.

Beliau menegaskan apa pun alasannya, ada banyak perkara yang tidak kena sehingga perbuatan menceroboh tanah kerajaan semakin menjadi-jadi.

“Hari ini, rakyat sudah celik. Nampak kejelekan di sana sini. Sudah serik kena tipu. Sudah insaf. Sudah ingin membetulkan di mana silap. Sudah pandai menilai yang mana intan yang mana kaca. Yang mana benar yang mana temberang.

“Rakyat hari ini pun sudah pandai mengkritik pemimpin dan pihak berkuasa. Pesan saya kepada para pemimpin dan pihak berkuasa, hisablah dirimu sebelum kamu dihisab oleh Tuhan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close