Artikel KhasBerita Utama

Siri I: Tiada makna kemerdekaan tanpa penghayatan hijrah

Muslihat kedatangan British ke Tanah Melayu - sekat pelaksanaan syariat Islam dari menjadi dominan di seluruh negeri Tanah Melayu

ESOK seluruh rakyat Malaysia akan meraikan hari bersejarah ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-63.

Saya lebih suka menggunakan perkataan kemerdekaan daripada kebangsaan untuk mengenang kembali sejarah perjuangan rakyat Malaysia untuk bebas dan merdeka dari penjajahan British.

Sama ada kita benar-benar merdeka dan bebas ini masih boleh dibincang lanjut tetapi penggunaan istilah kebangsaan sebenarnya telah menjadikan perayaan ini hilang ruh dan semangatnya serta terputus dari makna sebenar sejarah lampau negara.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 kali ini akan disambut dalam suasana norma baru – melalui siaran langsung di televisyen memandangkan negara masih belum pulih dari pandemik COVID-19.

Latar belakang sebegini adalah kesempatan yang sesuai bagi kita untuk menilai, meninjau dan bermuhasabah kembali tentang pelajaran dan pengajaran di sebalik kemerdekaan negara yang bakal diraikan.

PEMERHATIAN SEJARAH SEPINTAS LALU

Portugis pernah cuba untuk menjajah Melaka, yang menjadi pusat perdagangan antarabangsa dan politik serantau, tetapi mereka hanya berjaya meninggalkan bangunan A Famosa di Melaka.

Jepun juga pernah mencuba nasib untuk menakluki Tanah Melayu, tetapi terpaksa menyerah kalah juga akhirnya, dengan meninggalkan memori keperitan dan parut dalam yang masih kekal dalam ingatan nenek moyang kita.

Akhirnya British datang sebagai penjajah. Akan tetapi apa yang mereka tinggalkan lebih dahsyat kesan akibatnya ke atas penduduk-penduduk Tanah Melayu.

Apakah tujuan sebenar kedatangan British ke Tanah Melayu?

Ramai sejarawan yang mengemukakan teori – antaranya ialah untuk menyediakan bahan-bahan mentah (bijih timah dan getah) yang diperlukan oleh pihak Inggeris yang pada ketika itu sedang melalui revolusi Industri dan peperangan di Eropah.

Bagaimanapun tidak ramai yang memerhatikan satu sudut lain yang yang tidak kurang pentingnya, malah mungkin menjadi sebab paling utama mereka datang ke Tanah Melayu.

Muslihat terbesar di sebalik motif kedatangan British dapat difahami daripada pemerhatian di bawah, oleh seorang pegawai kolonial mereka sendiri:

“There can be no doubt that Moslem law would have ended by becoming the law of Malaya had not British law stepped in to check it […]”.

– Richard James Wilkinson, pegawai Pentadbir penjajah British dan anak kepada Konsul British di Greece. #

Terjemahan bebas: Tidak dapat disangkal lagi bahawa Undang-Undang Islam akhirnya akan menjadi undang-undang Tanah Melayu kalaulah bukan kerana campurtangan perundangan British untuk menghalangnya …

[Petikan dari William R. Roff, “Patterns of Islamization in Malaysia, 1890s–1990s: Exemplars, Institutions, and Vectors”, Journal of Islamic Studies 9, no. 2 (1998), 211].

Nah, ini muslihat mereka sebenarnya – untuk menyekat pelaksanaan syariat Islam dari menjadi dominan di seluruh negeri-negeri Tanah Melayu!

Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 pula adalah dokumen rasmi permulaan dan juga penerusan agenda asal penjajah sekular British yang diungkapkan oleh R. J. Wilkinson di atas.

Perlembagaan Persekutuan belum wujud lagi ketika itu, tetapi niat, tujuan, objektif dan agenda penjajah British sudah termaklum.

KEJATUHAN KHILAFAH UTHMANIYAH

Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1923 adalah kemuncak terlepasnya kepimpinan dunia dan hilangnya kedaulatan umat Islam. Masing-masing wilayah yang dahulunya dinaungi oleh sistem Khilafah ini menjadi ‘bebas’ dan ‘merdeka’ dari ikatan persaudaraan sejagat umat Islam.

Identiti kebangsaan dan nasionalisma mula mengambil tempat yang lebih mulia dari persaudaraan sesama muslim. Negara-negara yang dahulunya didiami umat Islam mula berperang dan saling bermusuhan.

Kelahiran negara haram Zionis – Israel – adalah pukulan maut yang memalukan umat Islam. Dan Britain (melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) – negara yang secara rasminya mengusulkan tentang keperluan untuk orang-orang Yahudi memiliki tanah air mereka sendiri, yang tercapai 24 tahun sesudah itu.

Zaman penjajahan umat (setelah Barat membahagi-bahagikan empayar besar itu) adalah tempoh untuk Barat menjarah, mengeksploitasi, memperhambakan dan menghina umat. Umat Islam bangkit melawan – Libya, Algeria, Iraq dan lain-lain melalui senjata – kalah, kerana Barat sudah menguasai teknologi sezaman, persenjataan, logistik dan seumpamanya.

Kebangkitan dunia Barat di dalam pelbagai bidang adalah disebabkan dinamika masyarakat mereka yang telah bebas dari kongkongan dan penguasaan agama (pihak Gereja) ke atas ilmu pengetahuan, yang pada hakikatnya juga adalah natijah semula jadi kepada kegigihan dalam pencarian ilmu pengetahuan, tanpa campur tangan agama.

KESAN KEJATUHAN KHILAFAH TURKI UTHMANIYAH

Kesan-kesan semula jadi kepada negara-negara Islam yang dijajah selepas kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah adalah perkembangan pesat fahaman-fahaman liberalisme, feminisme dan gerakan pembebasan wanita, kebebasan peribadi/individu, sekularisma, penghayatan penuh carahidup, corak dan gaya berfikir Barat.

Islam telah di’turunkan’ pangkatnya kepada keadaan semisal ajaran agama Kristian – iaitu sekadar satu hubungan peribadi antara individu dan Tuhan/Pencipta. Gerakan-gerakan Evangelis juga ditanamkan secara tersusun dari satu negara umat Islam ke negara umat Islam lainnya – Nigeria, Indonesia, India, Filipina, Tanah Melayu dan beberapa negara lagi.

SAMBUNGAN…

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button