Berita UtamaDunia

UAE mansuh undang-undang boikot Israel

Perjanjian normalisasi ditentang, dianggap mengkhianati Palestin

ABU DHABI, 11 Muharram 1442H, Ahad – Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara rasmi memansuhkan undang-undang memboikot Israel selepas menandatangani perjanjian normalisasi dengan negara haram itu.

Tindakan berkenaan sekali gus memberi peluang kepada Abu Dhabi dan Tel Aviv melakukan perjanjian kewangan dan perdagangan.

Agensi Berita Emirates rasmi (WAM) melaporkan bahawa Menteri Luar Negeri UAE, Sheikh Abdullah Zayed Al-Nahyan yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan dibuat bagi membatalkan Undang-Undang Persekutuan No. 15 tahun 1972 – peraturan berkaitan boikot Israel.

Pembatalan undang-undang itu menjadikan setiap penduduk dan syarikat di UAE dapat menandatangani perjanjian dengan sebarang individu atau firma yang menetap di Israel.

“Adalah dibenarkan untuk memasuki, menukar atau memiliki barang dan produk Israel dari semua jenis di UAE dan memperdagangkannya,” kata WAM.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 13 Ogos lalu mengumumkan perjanjian antara Israel dan UAE untuk menormalkan hubungan.

UAE adalah negara Teluk pertama dan negara Arab ketiga yang membentuk hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir dan Jordan.

Menurut perjanjian itu, perwakilan Israel dan UAE akan mengadakan pertemuan dan menandatangani perjanjian dua hala yang meliputi pelbagai sektor termasuk pelaburan, pelancongan, penerbangan dan pembukaan kedutaan di kedua-dua negara.

Sementara itu, penerbangan pertama Israel yang bermula di Lapangan Terbang Ben Gurion Tel Aviv ke Abu Dhabi akan bermula pada Isnin.

Difahamkan, penerbangan itu akan membawa delegasi Israel dan pembantu Presiden AS, termasuk penasihat kanan Trump, Jared Krushner.

Kemarahan melanda di Timur Tengah susulan kesepakatan UAE dan Israel mengadakan hubungan diplomatik, selain para pemimpin Palestin menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan oleh negara Arab. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button