Ahli politik ada jati diri akan fikir maslahat umat melebihi parti
Menteri buat silap apabila tak mansuhkan sekolah vernakular
BANGI, 12 Muharram 1442H, Isnin – Meskipun penjajah sudah tiada, namun masyarakat pada hari ini masih lagi ‘lari’ daripada jati diri asal.
Mengambil contoh politik negara, Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sekiranya pemimpin mempunyai jati diri yang kuat, mereka akan memikirkan maslahat umat serta negara, agenda nasional dan bukannya agenda parti dan peribadi.
“Tetapi sekarang ini mengecil dari agenda negara pergi ke agenda parti.
“Agenda parti masih ‘boleh’ tapi kita lihat kes melompat parti sudah semakin banyak. Jadi sebenarnya agenda yang ada pada ahli politik sebahagian besarnya adalah agenda peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual BICARA MALAYSIA | Merdekakah Kita? yang disiarkan TV Pertiwi hari ini.
Ustaz Fauzi berkata, keadaan yang berlaku pada masa akan datang sukar untuk dibaca meskipun ideologi sesuatu parti itu mudah ditafsir.
Ketika ditanya mengenai soal perpaduan negara yang membabitkan sekolah satu aliran serta vernakular, beliau berkata, apa yang penting adalah silibus di sekolah berkenaan.
Ustaz Fauzi menjelaskan bahawa silibus akan membentuk cara masyarakat berfikir, kefahaman mengenai negara serta bagaimana mereka berinteraksi dengan anggota masyarakat lain.
“Apa yang dididik di sekolah itu, maka itulah yang akan membentuk masyarakat pada masa akan datang. Sekolah vernakular apabila mengambil silibus luar, maknanya sejarah mereka akan ada versi sendiri.
“Kemudian dari segi penguasaan bahasa Melayu, terbukti bahawa lepasan sekolah berkenaan tidak begitu fasih termasuk menteri sendiri. Semua itu akhirnya akan menyebabkan banyak isu-isu yang berkait dengan perpaduan akan timbul.
“Kita juga melihat satu segmen silap daripada menteri yang boleh diharapkan membawa perpaduan apabila beliau mengatakan sekolah vernakular akan dikekalkan,” katanya.
Ustaz Fauzi menegaskan sekiranya sekolah vernakular dikekalkan, orang Cina dan India akan membesar dengan silibus berbeza dengan orang Melayu.
“Dengan silibus yang berbeza, masing-masing akan mempunyai tanggapan sendiri terhadap negara. Terutamanya hal yang paling sensitif dalam sistem pendidikan sekolah adalah berkenaan penguasaan bahasa.
“Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan sepatutnya semua pihak boleh faham dan bertutur dengan fasih.
“Bahasa melambangkan segala-galanya dan dari bahasalah kita boleh menerangkan sesuatu dengan baik dan berkomunikasi tanpa salah faham,” katanya.
Selain itu Ustaz Fauzi berkata, silibus penting yang perlu dilihat adalah mengenai sejarah.
“…sejarah tidak berbohong tetapi boleh dimanipulasi. Jika diceritakan dengan versi berbeza-beza macam mana kita nak bersatu. Kita tidak boleh bersatu,” katanya.