Artikel KhasBerita Utama

Di mana bangsa Melayu ambang 63 tahun merdeka?

Adakah kita perlu 30 tahun lagi untuk majukan ekonomi bangsa Melayu?

MALAYSIA telah mencapai kemerdekaan selama 63 tahun, satu tempoh yang agak panjang.

Dalam tempoh ini, bangsa Melayu sepatutnya telah mencapai zaman kegemilangan dalam semua bidang kehidupanl lebih-lebih lagi ianya dipimpin oleh bangsa Melayu tanpa sebarang pertukaran kerajaan, selain dari kerajaan pimpinan bangsa Melayu.

Raja Siam iaitu Raja Chulalongkorn yang memegang tampuk pemerintahan bermula pada tahun 1868 hingga 1910 telah mengambil tempoh selama 30 tahun untuk memajukan negaranya.

Begitu juga Maharaja Meiji yang memerintah Jepun pada tahun 1868 hingga 1912 mengambil tempoh sama untuk memajukan negara itu.

Raja Chulalongkorn dan Maharaja Meiji berjuang demi bangsa mereka dan akhirnya mereka berjaya.

Ini bermakna, sekiranya bangsa kita meletakkan bangsa sebagai keutamaan dalam perjuangan, kita juga boleh berjaya.

Kegagalan bangsa kita sehingga kini menunjukkan kita tiada hala tuju untuk bangsa dan jauh sekali untuk agama.

Semua lakonan dan drama di hadapan rakyat hanya semata-mata untuk meraih sokongan.

Kenapa kedudukan bangsa Melayu di Malaysia merosot? Bangsa Melayu di Tanah Melayu semakin merosot dalam semua bidang termasuk ekonomi, politik dan sosial.

Tidak dinafikan bahawa terdapat kejayaan yang pernah dicapai oleh negara dalam bidang ekonomi dan pembangunan beberapa tahun lampau, namun ianya bukan menggambarkan kejayaan bangsa Melayu.

Kejayaan sebenarnya perlu diukur kepada data-data yang ada dalam pembangunan ekonomi dan kekuatan kuasa politik yang ada, bukannya dilihat kepada kenyataan umum perkembangan ekonomi negara.

Dalam sektor ekonomi, pemilikan ekuiti Melayu dan bumiputera tidak melebihi 23 peratus semenjak negara mencapai kemerdekaan.

Bahkan sehingga hari ini, ianya semakin menurun dan pernah mencecah 16 peratus. Kenapa terjadi sedemikian?

Tempoh 63 tahun sepatutnya kita semakin melonjak walaupun dengan sedikit lonjakan tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ini belum dikira pemilikan ekuiti individu bangsa Melayu dan bumiputera. Dikatakan secara bersihnya tidak melebihi dua peratus.

Sudah berapa banyak seminar, bengkel dan lain-lain forum diadakan dan sudah berapa banyak kertas kerja dibentangkan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera, rupa-rupanya mengharapkan kertas bekerja.

Setiap kali seminar atau bengkel yang membicarakan mengenai ekonomi bangsa Melayu dan bumiputera hanya memakan masa berhari-hari berkampung di hotel-hotel.

Seminar diadakan juga terdiri dari kalangan pemimpin politik dan pakar-pakar ekonomi dari semua sektor dan tenaga akademik, namun ia masih tidak dapat mengubah pembangunan ekonomi bangsa Melayu.

Rupanya mulut yang berbicara tetapi tiada tindakan yang berjaya.

Adakah kita memerlukan 30 tahun lagi untuk memajukan ekonomi bangsa Melayu?

Tempoh 63 tahun merdeka kita kuburkan, 30 tahun pertama untuk batu nisan pertama ,30 tahun kedua untuk batu nisan kedua.

Adakah Bangsa Melayu perlu mula hidup baru untuk memajukan ekonomi selama 30 tahun lagi ?.

Masa tidak menunggu kita. Bangsa lain telah jauh ke depan dan tidak akan menunggu kita. Bahkan mereka tidak akan berkongsi dengan kita apa yang telah mereka perolehi dari sumber-sumber kekayaan negara ini.

Suasana politik yang kian mencabar tidak mudah untuk bangsa Melayu mengharungi cabaran yang ada kecuali dengan semangat juang dan jati diri yang tinggi.

Jati diri yang boleh menguatkan bangsa Melayu hanya perlu kembali kepada peradaban Islam dan Melayu dalam semua tindakan.

Kerajaan Siam dan Jepun boleh membangun dalam tempoh 30 tahun, kenapa bangsa Melayu gagal walaupun tempoh 63 tahun?

Ambang merdeka 63 tahun, bangsa Melayu perlu melihat semula kebelakang mencari punca kegagalan.

Kenapa kita gagal dalam ekonomi? Kenapa kita gagal dalam politik? Faktor-faktor kita gagal dalam politik dan ekonomi perlu dipulihkan secepat mungkin.

Jangan asyik tertipu dengan fatamorgana kononnya Tanah Melayu milik kita jika ekonomi kita tercorot dan kuasa politik kita ibarat boneka kaum lain semata-mata.

Kita tidak mahu bangsa kita hanya seronok dengan melambaikan bendera dihari kemerdekaan, bersorak sana sini meraikan kemerdekaan, berkonvoi kenderaan motor dan kereta merayakan kemerdekaan, tetapi ianya tidak melebihi perumpamaan bangsa Melayu ” menang sorak kampung tergadai”.

Ustaz Sharipudin Ab Kadir
YDP ISMA Pasir Puteh
Ketua Perhubungan ISMA Kelantan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button