Berita UtamaDunia

Dua maut letupan di restoran Abu Dhabi

Punca kejadian akibat ketidaksejajaran pada tabung gas

ABU DHABI, 12 Muharram 1442H, Isnin – Sekurang-kurangnya dua maut akibat letupan di restoran makanan segera di sebuah bangunan di Jalan Rasid Bin Saeed, pagi tadi.

Pejabat Media Kerajaan Abu Dhabi dalam satu kenyataan berkata, seorang daripada mangsa yang terkorban berada berhampiran lokasi kejadian, manakala seorang lagi terkena serpihan ketika melalui lokasi terbabit.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mereka, semoga Tuhan menenangkan jiwa mereka,” katanya.

Dalam kenyataan sama, pejabat itu berkata, beberapa mangsa yang mengalami kecederaan ringan dan sederhana telah dibawa ke hospital.

“Menurut siasatan di lokasi, kejadian itu disebabkan oleh masalah pada kelengkapan tabung gas selepas pengisian bahan bakar.

“Pasukan keselamatan membantu mengeluarkan orang ramai dari bangunan dan sekitar kawasan untuk memastikan keselamatan setiap orang,” katanya.

Selain itu, katanya, pegawai telah mengarahkan para pemandu supaya menjauhi jalan berkenaan yang berhampiran dengan Al Wahda Mall, sementara perkhidmatan kecemasan tiba.

Menurut media tempatan, letupan itu menyebabkan kebakaran yang memusnahkan tingkat bawah bangunan.

“Kebakaran dapat dikawal dalam masa 33 minit,” lapor National newspaper milik Abu Dhabi, memetik jurucakap Pertahanan Awam Dubai.

Malah, penduduk turut mendakwa bahawa mereka terdengar letupan yang menyebabkan serpihan bertaburan di seberang jalan di hadapan sebuah bangunan kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan.

“Kami mendengar letupan kuat, diikuti oleh asap tebal dari lokasi di bangunan itu,” kata salah seorang penduduk. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button