Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 di seluruh dunia melebihi 25 juta

AS negara paling terkesan, rekod 5.99 juta jangkitan

WASHINGTON, 12 Muharram 1442H, Isnin – Jumlah jangkitan kes COVID-19 yang dicatatkan di seluruh dunia melebihi 25 juta, menurut data dikumpulkan penyelidik Amerika Syarikat (AS).

Menurut angka dari Universiti Johns Hopkins yang dikemaskini semalam, AS menghampiri enam juta kes, iaitu kira-kira suku daripada jumlah jangkitan di seluruh dunia.

AS yang muncul negara paling terkesan dengan wabak itu, merekodkan 5.99 juta jangkitan setakat jam 12.30 tengah malam tadi, dengan lebih 183,000 kematian, diikuti Brazil (melepasi 120,000) dan Mexico (lebih dari 64,000).

Brazil mempunyai jumlah kes kedua tertinggi, hampir 3.9 juta, diikuti oleh India, yang mencatat lebih daripada 3.5 juta.

Angka dari universiti yang berpusat di Baltimore menjadikan kematian global lebih dari 845,000.

Menurut data itu lagi, AS mencatatkan lima juta kes tiga minggu lalu, hanya 17 hari selepas mencapai empat juta jangkitan.

Pandemik itu sekali gus menjejaskan ekonomi AS, iaitu yang terbesar di dunia, selain membayangi prospek pemilihan semula Presiden Donald Trump.

Selain itu, COVID-19 juga terus menyerang negara seperti New Zealand dan Korea Selatan yang berjaya mengawal penularannya sebelum ini tetapi kini terpaksa bertarung dengan kluster jangkitan baharu.

COVID-19 sudah pun meragut hampir 855,000 nyawa secara global dan tanpa vaksin atau rawatan berkesan.

Setakat ini, kerajaan di serata dunia terpaksa melaksanakan langkah seperti penjarakan sosial serta perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button