Berita Utama

Pemimpin Melayu tidak sepakat, tak berani bela nasib bangsa sendiri

Pemimpin politik kaum lain rakus membawa agenda kaum masing-masing

BANGI, 12 Muharram 1442H, Isnin – Tindakan ahli politik Melayu yang seolah-olah mempertahankan kewujudan sekolah vernakular menampakkan mereka tiada ‘kehendak politik’ untuk martabatkan agenda kaum majoriti di negara ini.

Sebaliknya, pemimpin politik kaum lain begitu rakus membawa agenda kaum masing-masing, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat.

Beliau kesal kerana pemimpin Melayu berpecah dan tiada kata sepakat dalam isu membabitkan kepentingan Melayu.

Justeru, beliau menyarankan supaya rakyat berani menghukum pemimpin seperti itu kerana mereka dikira mengkhianati amanah bagi membela kepentingan kaum Bumiputera di tanah air.

“Kesedaran (rakyat) untuk memilih pemimpin berwibawa yang amanah dalam perjuangan Melayu dan Islam.

“Akhirnya, tiada yang berani membela nasib kaum majoriti yang lama kelamaan akan terpinggir di bumi sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yakin kerajaan hari ini tidak akan mengganggu peranan yang dimainkan oleh sekolah vernakular.

Katanya, isu pemansuhan sekolah vernakular bukan satu keutamaan untuk dibahaskan buat masa ini kerana keutamaan kerajaan ketika ini untuk memberikan kualiti pendidikan yang terbaik.

Pada masa sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular.

Halimah berkata, usaha memupuk perpaduan negara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif pelbagai pihak yang mendukung hanya sekolah satu aliran sahaja diwujudkan di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button