Artikel KhasBerita Utama

Selagi gagal laksana perintah Allah, bermakna masih ‘terjajah’

Guna nikmat kemerdekaan sebagai batu loncatan raih kemerdekaan hakiki

ASSALAMUALAIKUM warahmatullahi wa barakaatuh.

Saya ingin mengucapkan hari kemerdekaan ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya, dan kepada umat Islam secara khususnya. Moga Allah SWT memberkati negara Malaysia yang tercinta dan rakyatnya.

Sesungguhnya kemerdekaan di dalam Islam bagi seseorang individu adalah merdeka bebas sepenuhnya menjalankan perintah Allah tanpa ada sebarang larangan.

Selagi mana manusia itu masih belum benar-benar bebas melaksanakan perintah Allah, ia bermakna ia masih terjajah, paling tidak pun ia terjajah oleh nafsunya. Begitulah juga sebagai sebuah masyarakat dan negara, selagi mana ia gagal melaksanakan perintah Allah seluruhnya, maka sebenarnya ia masih terjajah walaupun penjajah mungkin sudah keluar dari negara ini.

Ini diungkapkan oleh Rab’ie bin Amir apabila ditanya oleh Rustum mengenai sebab kedatangan tentera muslimin ke Parsi, lalu beliau menjawab :

“Kami diutuskan oleh Allah SWT untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah manusia kepada menyembah Tuhan manusia, dan dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada kezaliman agama-agama yang ada, kepada keadilan Islam.”

Jadi umat Islam di Malaysia perlu menggunakan nikmat kemerdekaan daripada penjajahan ini sebagai batu loncatan bagi meraih kemerdekaan hakiki untuk bebas-sebebasnya melaksanakan tuntutan dan perintah Allah SWT.

Lawan kemerdekaan adalah penjajahan. Awaslah bahawa kiranya kita masih terjajah dari sudut pemikiran kita, apabila kita tidak benar-benar menghayati kebebasan dan kemerdekaan yang digariskan oleh Islam itu sendiri.

Kita juga melihat pada kebelakangan hari ini, beberapa isu yang cuba mencarik susuk tubuh negara ini sudah mula terzahir dalam masyarakat seperti kes pemasangan bendera terbalik, isu jata negara yang diubahsuai, pertikaian terhadap Bahasa Melayu dan seumpamanya.

Ini merupakan fenomena-fenomena yang memberikan petanda amaran sekiranya tidak dibendung ia akan merosakkan negara khususnya untuk generasi akan datang.

Mudah-mudahan Allah SWT memelihara negara Malaysia yang tercinta ini, dan moga-moga seluruh rakyatnya hidup bersatu padu dan aman harmoni, serta sama-sama menjunjung Perlembagaan negara kita.

Sekian, selamat menyambut kemerdekaan yang ke-63, Malaysia Prihatin.

Sahibus Samahah Datuk Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button