Berita Utama

Semangat patriotisme bina kesatuan rakyat

Rukun Negara sebagai sumpah taat setia terhadap negara

BANGI, 12 Muharram 1442H, Isnin – Semangat patriotisme tinggi mengikat perasaan sesama rakyat serta membina kesatuan dengan berkongsi perasaan positif terhadap negara.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, ekspresi patriotisme boleh dilakukan dengan beberapa cara jelas seperti menghormati semua lambang kebesaran negara.

Contohnya, seperti Rukun Negara sebagai sumpah taat setia terhadap Malaysia, Jalur Gemilang dan lagu kebangsaan iaitu Negaraku.

“Semangat patriotik yang kita rasakan ketika di sekolah dahulu perlu dikekal dan terus dipupuk dalam diri sampai ke detik kematian.

“Itulah sebabnya kita harus mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga sambil mengekspresikan Rukun Negara serta Negaraku, misalnya melalui platform media sosial dengan cara yang efektif lagi kreatif,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Beliau berkata, patriotisme sesama rakyat juga bererti meraikan kepelbagaian dalam kelompok masyarakat.

“Kita terdiri daripada ahli masyarakat yang berbilang budaya serta cara hidup, setiap suku serta kaum membentuk fabrik Malaysia yang unik. Dalam menyambut Hari Kebangsaan ketika situasi pandemik ini, raikan kepelbagaian dan terus bertoleransi antara satu sama lain.

“Dalam norma baharu ini, ramai ahli masyarakat terkesan dengan situasi semasa. Maka, patriotisme amat diperlukan untuk saling menyokong dari segi kebajikan dan ekonomi.

“Belilah barangan daripada rakyat Malaysia, kerap bercuti dalam negara dan bersama kita menjana kembali pendapatan ahli masyarakat. Susah dan senang rakyat Malaysia tetap harus terus bersama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Airil berkata, slogan ‘Kita Jaga Kita’ jelas memberi gambaran nilai patriotisme yang tiada tolok bandingan.

Katanya, timbulnya slogan ini dalam keadaan pandemik yang dahsyat adalah bukti kesatuan hati rakyat Malaysia.

“Kita jaga diri kita, oleh sebab rasa patriotik yang tersemat erat dalam hati dan sanubari kerana segalanya bermula pada peringkat individu.

“Seorang individu yang sihat dalam unit keluarga akan menguatkan komunitinya, tidak kira siapa individu itu dan tidak kira latar belakang agama, kaum, jantina atau taraf hidup beliau.

“Kelompok komuniti yang kuat lagi sihat pula membawa kepada masyarakat Malaysia yang terus beradaptasi dan berevolusi dalam norma baharu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button