Artikel KhasBerita Utama

Siri II: Tiada makna kemerdekaan tanpa penghayatan hijrah

Bangsa Melayu terpaksa berdepan ancaman dari pelbagai sudut

REALITI MENJELANG KEMERDEKAAN

Campur tangan British ke Tanah Melayu tidak berlaku secara kebetulan. Ia perlu dilihat dalam konteks agenda penjajahan British yang lebih besar lagi selepas kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah dan terpecahnya umat Islam menjadi negara-negara kecil.

Apa yang British buat untuk memastikan pengaruh budaya, hegemoni politik dan kepentingan-kepentingan ekonominya terus terjamin dan tidak terusik ialah melalui helah-helah perundangan setelah mereka menguasai wilayah-wilayah dunia Islam ini ekoran Perang Dunia Pertama dan Kedua. Tanah Melayu (pada ketika itu) sudah pun terbahagi kepada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Bersekutu dan negeri-negeri Tidak Bersekutu.

Pihak British sudah tentu tidak akan membiarkan begitu saja tanah-tanah jajahan Empayar British yang kaya dengan bahan mentah itu tanpa sebarang jaminan atau perlindungan.

Pelbagai infrastruktur dibina dan sistem pendidikan British diperkenalkan. Kerabat Diraja dan anak-anak mereka serta golongan bangsawan atau aristokrat merupakan “murid-murid terpilih” yang kemudian nanti akan menyambung pelajaran mereka di pusat-pusat “pendidikan” Empayar British.

Rakyat biasa yang bernasib baik dan berpeluang untuk mendapat bentuk pendidikan yang sama hanya akan “tersekat” di pejabat-pejabat yang dimiliki oleh Tuan Besar mereka, untuk bekerja sebagai kerani/peon, budak pejabat, pekerja am atau lebih baik sikit, menjadi guru.

Dalam tempoh beberapa tahun kemudiannya, Tanah Melayu sudah mempunyai simpanan dan bekalan individu-individu neo-British (Inggeris jadian) berkulitkan Melayu yang mencukupi.

Apa yang meresap masuk ke dalam pemikiran dan masyarakat Melayu muslim sesudah itu ialah pembanjiran sistem nilai, idea, pemikiran, pandangan hidup, ideologi dan pergerakan-pergerakan yang mengkhusus kepada ekosistem sosial, politik, moral dan agama penjajah, di mana Tuhan dan agama (Kristian) telah diusir keluar dari urusan-urusan hidup keduniaan dan sifir pergelutan hidup masyarakat.

Inilah “produk-produk” yang diimpot masuk ke dalam dunia Islam dan negara-negara umat Islam (termasuk Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia).

Format kemerdekaan yang dicadangkan atau ditawarkan oleh pihak British khususnya adalah sama di setiap negara Islam yang dijajah atau dimenanginya, dengan sedikit penyesuaian kepada adat dan amalan-amalan setempat. Negara-negara umat Islam yang menuntut atau berjuang untuk mencapai kemerdekaan secara senjata tidak sama formulanya dengan yang “memohon” kemerdekaan melalui meja rundingan secara damai.

Bagi Tanah Melayu pula, para pejuang kemerdekaan terpaksa menghadapi realiti bahawa terdapat pihak lain iaitu orang-orang China dan India yang didatangkan oleh penjajah British untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan estet-estet getah milik para kapitalis Inggeris.

Parti-parti politik yang wujud kemudiannya diwarnai dengan pelbagai agenda dan platform yang bukan lagi didominasi oleh orang Melayu semata-mata.

Syarat-syarat khusus ditetapkan oleh penjajah British sebelum Tanah melayu dapat diberi kemerdekaan iaitu kewarganegaraan secara automatik kepada pendatang-pendatang dari China dan India. Sebagai gantinya, ‘warganegara-warganegara’ baru ini perlu menghormati (bukan lagi sebagai satu pilihan) hak-hak dan keistimewaan orang-orang Melayu, Bumiputera dan Raja-Raja serta kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Perjuangan parti-parti politik untuk mendapat kemerdekaan, baik yang berwajah Melayu, Islam dan etnik-etnik lain sebenarnya tidak terlepas daripada kerangka-kerangka yang ditetapkan oleh pihak British sendiri secara sedar atau tidak sedar.

Kemerdekaan yang dipaksakan, rundingan tentang isu-isu kewarganegaraan, hak-hak istimewa Melayu/Bumiputera, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan Raja-raja … perlu dibaca dalam konteks agenda besar kedatangan para kolonialisme ini ke Tanah Melayu dan wilayah Nusantara.

‘Kemerdekaan’ yang dianugerahkan adalah dalam bentuk dan acuan yang direstui oleh penjajah British terlebih dahulu, walaupun dimulakan dengan laungan merdeka dan azan yang berkumandang di Stadium Merdeka.

MALAYSIA PASCA KEMERDEKAAN

Tidak ada sebarang keistimewaan atau keunikan yang berlaku dalam negara Malaysia selepas peristiwa bersejarah di Stadium Merdeka itu. Sistem, prasarana dan infrastruktur yang hampir lengkap sudahpun beroperasi untuk memastikan bayang-bayang British tidak hilang dari negara ini.

Pihak British tidak melupakan tujuan sebenar mereka datang ke Tanah Melayu seperti yang diungkapkan oleh R. J. Wilkinson sebelum ini. Mereka cuba memutuskan mata rantai negara yang baru ‘merdeka’ ini dari punca-punca kekuatan yang akan mencabar hegemoni dan dominasi British (Barat).

Golongan pemerintah atau pembuat-pembuat dasar negara masih lagi mewarisi minda penjajah, yang lebih dikenali sebagai Anglophiles. Warisan British ini kemudiannya telah diteruskan oleh negara Amerika Syarikat setelah kedudukan Britain sebagai kuasa besar telah dibayangi oleh kebangkitan Amerika Syarikat.

Akan tetapi agenda mereka tetap sama.

Kebangkitan kesedaran Islam di kalangan para pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran mereka ke negara-negara Arab khususnya Universiti Al Azhar di Mesir tetap gagal menggugat kedudukan dan pengaruh Barat yang terlalu kuat cengkamannya di tanah air.

Gelombang kesedaran Islam di kalangan generasi muda Melayu terpaksa berhadapan dengan iklim berleluasanya idea-idea demokrasi Barat, hak asasi manusia (termasuk hak untuk murtad), gerakan liberalisme, kebebasan peribadi dan seksual, gerakan-gerakan sivil, feminisme, hak-hak minoriti, industri hiburan dan seumpamanya.

Sekiranya umat Islam dan generasi mudanya tidak dapat dipisahkan dari memegang dan membawa Al-Quran, maka keluarkanlah Al-Quran dari hati, jiwa, perasaan, ruh dan hidup mereka!

REALITI SEMASA UMAT ISLAM

Tajuk mengenai keadaan semasa umat Islam hari ini sudah banyak diperkatakan oleh ramai orang. Dari masjid, surau hinggalah ke pusat-pusat pengajian tinggi serta media sosial, tajuk ini sentiasa berulang dan diulang-ulang oleh para penceramah, tokoh masyarakat dan para asatizah.

Ini menunjukkan betapa pentingnya umat Islam peka dengan keadaan semasa yang melingkungi mereka.

Saya mempunyai pemerhatian tersendiri tentang isu ini, seperti berikut.

Perbalahan dan pertelingkahan bangsa Melayu sudah memakan masa puluhan tahun mengenai politik kepartian dan perebutan kuasa. Masyarakat sudah muak dan meluat melihat bangsa Melayu saling bertelagah dan bermusuhan.

Di dalam dunia politik, bangsa dan umat ini tidak mempunyai agenda yang kukuh untuk mengislah masyarakat dan menentukan hala tuju politik yang berkesan. Yang berlaku adalah sebaliknya – mandat dan kepercayaan yang dikhianati, prinsip yang mudah digadai, matlamat perjuangan yang diselewengkan, kerjasama dengan musuh umat Islam dan bangsa tidak terurus dengan baik dan sempurna.

Sekalipun terdapat bibit-bibit kerjasama dan permuafakatan politik, ia masih bersandarkan maslahat politik kepentingan dan keghairahan untuk kekal berkuasa atau merampas kuasa. Perjuangan politik bukan lagi didasarkan kepada nilai syarak sebagai penentu setiap keputusan, pendirian dan tindakan mereka.

Sedangkan, umat dan bangsa ini memiliki lebih banyak persamaan daripada perbezaan.

Di sudut yang lain pula, umat juga disibukkan dengan pertelingkahan dan perbalahan yang sama dalam masalah-masalah keagamaan, khususnya dalam topik-topik furu’/khilafiyah dalam Fiqah, dan permasalahan Hadis dan akidah.

Manakala pengisian, pengajaran, kuliah dan ceramah agama dipaparkan dan disampaikan dengan cara yang terpisah dari realiti hidup dan masalah umat kontemporari. Para penceramah dan ulama lebih gemar membahaskan bab Taharah, Solat dan Fiqh yang sempit.

Tidak ada yang suka memberi penekanan tentang pentadbiran negara, politik antarabangsa, jenayat, muamalat, pertanian, memakmurkan muka bumi, hubungan antarabangsa dan kewangan, yang semuanya sudah dibahaskan oleh para ulama terdahulu di dalam kitab-kitab Fiqah mereka.

Sangat menghairankan dan menyedihkan, dari puluhan jilid kitab-kitab Fiqah yang dikarang oleh para ulama pelbagai mazhab mengenai hampir semua urusan hidup dunia, para ulama dan penceramah kita lebih suka memilih cara mudah untuk mengambil bab-bab tertentu sahaja untuk dikitar semula dalam setiap ceramah mereka.

Kedua-dua realiti di atas sudah cukup untuk menghabiskan saki baki tenaga yang masih ada pada umat ini, melumpuhkan kekuatan mereka, memundurkan mereka dalam industri perekonomian dan pembangunan serta mencacatkan mereka dalam persaingan untuk mengatasi monopoli dan dominasi pihak musuh umat.

Di celah-celah kacau bilau dalam urusan politik dan agama, musuh mengambil kesempatan untuk membiarkan generasi muda semakin lalai dengan hiburan, keseronokan dan cara hidup bebas merdeka, tanpa peduli akan peranan dan tanggungjawab sebagai pewaris risalah Islam dan pemimpin masa depan.

Belum cukup dengan gambaran yang mendebarkan ini, umat Islam dan bangsa Melayu hari ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ancaman dari setiap sudut. Ancaman dari dalam berupa hasutan syaitan, desakan hawa nafsu, kecintaan kepada dunia, ketakutan terhadap kematian, kerakusan dan tamak haloba untuk berkuasa, mengkhianati amanah dan kepercayaan, mengamalkan rasuah dan melakukan dosa dan maksiat.

Ancaman luar pula ialah kebanjiran ideologi ciptaan manusia yang ingin menguasai minda dan pemikiran, gerakan-gerakan liberal, sekular, evangelis dan kemurtadan.

Di sisi lain pula adalah gerakan-gerakan untuk merungkaikan Islam dari Perlembagaan, mencabar kedaulatan umat dan bangsa, memprovokasi kesabaran dan mengapi-apikan kesatuan dan kesepakatan umat dan bangsa, mencetuskan perbalahan dan perseteruan antara kaum dan usaha gigih musuh-musuh Islam untuk memecah belahkan barisan umat Islam yang dahulunya bercerai berai.

Terdapat usaha gigih dari mereka yang berkepentingan untuk mencairkan jati diri individu muslim, kucar-kacirkan institusi kekeluargaan, menghancurkan ikatan pernikahan suami isteri, merosakkan pemikiran anak-anak muda, merangsang pemberontakan terhadap institusi-institusi Islam, melumpuhkan kegiatan ekonomi umat Islam dan menghalang umat dan bangsa dari kembali bersatu padu dan bersaudara.

Ini adalah di antara realiti berat yang terpaksa di hadapi dan ditanggung pada hari ini.

SEMANGAT KEMERDEKAAN YANG BERHIJRAH

Bersempena ulang tahun ke-63 kemerdekaan negara dari cengkaman penjajah British, yang turut berlaku dalam bulan Muharam tahun 1442 Hijrah, sudah tiba masanya umat Islam dan bangsa Melayu untuk kembali mencari punca-punca kekuatan, kemuliaan dan kedaulatan yang sudah lama terlepas dari tangan dan genggaman.

Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW yang sering diulang dan diraikan setiap tahun tidak akan membawa apa-apa kesan yang hakiki sekiranya kita tidak menterjemahkan tuntutan-tuntutannya berdasarkan kehendak-kehendak dan perkembangan semasa.

Setiap kali peristiwa agung Hijrah ini disebut, ia seharusnya membangkitkan kesedaran kepada kita bahawa tidak ada sesuatu yang lebih berharga dari melaksanakan tanggungjawab untuk memerdekakan umat dan bangsa dari belenggu perhambaan.

Demi risalah agung inilah generasi umat terdahulu sanggup korbankan segala harta, keluarga, kepentingan, kehendak dan keinginan. Tanpa segala prasarana atau jaminan kemenangan, umat Islam generasi terdahulu memikul tanggungjawab untuk mengislah masyarakat dan menyelamatkan manusia dari kehancuran dan kemusnahan.

Negara Malaysia sudah puluhan tahun merdeka secara zahirnya dari penjajahan British (Barat). Akan tetapi jiwa perhambaan kepada sistem dan nilai hidup Barat masih bersarang lagi di dalam hati dan jiwa umat. Ketundukan dan belenggu ini lebih sukar untuk dipecahkan kerana ia sudah bertapak dan bersarang lama di dalam jati diri masyarakat.

Tidak ada ertinya kemerdekaan tubuh badan selagi mana jiwa dan nurani umat dan bangsa masih lagi terbelenggu. Belenggu inilah yang menyekat dan menghalang umat dan bangsa supaya bangkit dari kelalaian, kemalasan, ketakutan untuk mencari unsur-unsur kekuatan dan kembali menggenggam kedaulatan, kemuliaan dan kepimpinan yang telah hilang.

Hukum Allah dan peraturan alam tetap tidak akan berubah. Proses dan agenda transformasi bangsa sudah ditetapkan dan segala formulanya terbentang di depan mata. Usaha-usaha untuk membangunkan kembali binaan peradaban manusia di atas acuan Tauhid tidak dapat dicapai dalam sekelip mata.

Tidak ada jalan pintas ke arah itu.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (Surah. Ar-Ra’d : Ayat 11).

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah”. (Surah Al Imran : Ayat 110).

Pihak penjajah sangat maklum bahawa bangsa yang merdeka pada zahirnya, tetapi masih terbelenggu jiwa dan semangatnya tidak akan mampu atau berani mencabar dominasi dan penguasaan penjajah. Umat dan bangsa ini perlu dibiarkan tidur nyenyak dalam keselesaan meraikan kemerdekaan yang tidak bernilai.

Tujuan mereka datang ke Tanah Melayu masih belum sempurna lagi iaitu menyekat tertegaknya kedaulatan Islam dan syariat di negara ini. Justeru, mereka akan tetap meneruskan agenda untuk memasung jiwa bangsa Melayu dan umat Islam dalam belenggu perhambaan.

Satu-satunya jalan untuk memecahkan belenggu ini ialah dengan kembali mengikuti jalan para perintis peradaban Tauhid ini.

Tiada makna bagi kemerdekaan kita tanpa hijrah yang membebaskannya!

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

Siri I: Tiada makna kemerdekaan tanpa penghayatan hijrah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button